Sabtu, Disember 19, 2009

Majlis Sambutan Maal Hijrah 1431H/2009M Peringkat Daerah Kecil Tungku

Tokoh Maal Hijrah 1431H Hj. Mamali Mundu @ Mohd Ali

Majlis sambutan Maal Hijrah 1431H/2009M peringkat Daerah Kecil Tungku telah diadakan pada 19hb. Disember. 2009 bersamaan 2 Muharram 1431H di perkarangan Urusetia Daerah Kecil Tungku yang dirasmikan oleh YB Mejar (K) Datuk Ustaz Mohd Suhaili Hj. Said ADUN N49 Tungku merangkap Presiden Majlis Hal-Ehwal Anak Negeri Sabah.

Majlis ini telah bermula pada jam 7.30 pagi dengan didahului bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh Tuan Hj. Sammah Sambaih ( Johan Qari MTQ 1430H/2009M peringkat Daerah Kecil Tungku ). Diikuti bacaan doa selamat oleh Imam Hj. Ladali Sakka Imam Kariyah Felda Desa Kencana. Majlis sambutan Maal Hijrah kali ini begitu meriah dengan kehadiran kontinjen-kontinjen sepanduk daripada kawasan Felda Sahabat dan dari kampung tradisi di kawasan Tungku, yang mana telah dibahagikan kepada dua ketegori, iaitu ketegori ‘ Kampung Tradisi ’ dan ketegori ‘ Jabatan kerajaan/Felda ’. Selain dari itu, turut diadakan anugerah pengurusan Masjid/Surau cemerlang. Salah satu anugerah yang baru dimasukkan dalam sambutan Maal Hijrah kali ini ialah anugerah Tokoh Maal Hijrah peringkat Daerah Kecil Tungku.

Orang Islam perlu ada kekuatan minda dan fizikal dengan beristiqamah dan bersungguh-sungguh dalam melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan oleh Allah s.w.t. Adalah menjadi kewajiban setiap kaum muslimin dan muslimat mengikut dan patuh kepada ajaran-ajaran yang telah disyariat di dalam Islam. Dalam kita melangkah ke tahun baru Islam 1431 H, marilah kita sama-sama berniat dengan tekad untuk mengubah diri dan keluarga menjadi lebih baik dengan membuat perubahan-perubahan ke arah kebaikan dan seterusnya memberi manfaat kepada masyarakat Islam keseluruhannya. Proses perubahan dan azam baru pada setiap tahun baru Islam hendaklah sentiasa dipraktikkan dan diterjemahkan menjadi satu kenyataan agar ianya tidak terhenti di situ sahaja. Kerana jika kita hanya bercita-cita dengan azam baru tetapi tidak dilaksanakan ianya merupakan angan-angan kosong, dan dikhuatiri akan melahirkan satu masyarakat yang tidak berwawasan dan tidak maju dalam semua bidang yang diceburi. Kata YB Datuk pada majlis tersebut.

Tokoh Maal HIjrah 1431H.2009M peringkat Daerah Kecil Tungku ialah Hj. Mamali bin Mundu @ Mohd Ali, seorang mualaf dan banyak memperjuangkan agama Islam di kawasan Tungku. Beliau menerima hadiah wang tunai sebanyak RM500.00 bersama Plak dan Lihar ( Al-Quran ) serta Sijil Penghargaan.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Penolong Pegawai Daerah Tungku En. Ibrahim Abg Hakim selaku Pengerusi Pelaksana Sambutan, Pemimpin Kemajuan Rakyat N49 Tungku Datu Baniamin Datu Jamaluddin, Ketua Belia Usia Cawangan Lahad Datu, En Abd Hakim Ghulam Hasan, Ketua Anak Negeri Tungku En. Abdillah Hamzah, Hj. Abd Malek Hj. Aidala, Allen Kiang, Penolong Pegawai Tadbir Agama Ustaz Mohammad Tasawwuf bin Hasan, En. Gaspar Sari.

0 Hantarkan Komen Anda di sini:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.