Khamis, Oktober 28, 2010

Program Seminar Bersama Pemimpin Masyarakat Tungku dan Lahad Datu bersama Perkeso Lahad Datu

Lahad Datu - Program seminar bersama pemimpin masyarakat kawasan Tungku dan Lahad Datu 2010 pejabat Perkeso Lahad Datu telah diadakan di Royal Palm Hotel pada 28hb. Oktober. 2010 yang telah dirasmikan oleh Cik. Clarie Claire Geoffery Penolong Pengarah Kanan Perkeso Negeri Sabah ( Bahagian Penguatkuasaan ).

Cik Clarice Claire Geoffery bersama Ketua Daerah Tungku dan Lahad Datu semasa seminar Perkeso di Royal Palm Hotel
Seminar ini dianjurkan oleh Perkeso Lahad Datu dengan kerjasama Pejabat Unit Pemimpin Kemajuan Rakyat N49 Tungku dan Majlis Hal-Ehwal Anak Negeri Sabah ( Lahad Datu )

Tujuan seminar ini diadakan adalah untuk menghebohkan maklumat mengenai aktiviti dan fungsi serta peranan PERKESO sebagai agensi kerajaan yang dipertanggungjawabkan untuk melaksana, mentadbir dan menguatkuasakan skim-skim Keselamatan Sosial iaitu Skim Bencana Pekerjaan dan Skim Pencen Ilat seperti mana yang diperuntukan dibawah Akti Keselamatan Sosial Pekerja, 1969.

Pendaftaran Peserta Seminar PERKESO
Di samping itu, antara lain objektif seminar ini diadakan adalah untuk mengeratkan lagi hubungan silaturrahim di antara pemimpin-pemimpin masyrakat di daerah Tungku dan Lahad Datu dengan anggota Perkeso.

Saya percaya dengan adanya hubungan yang baik di antara kedua-dua jabatan, saya pasti sistem penyampaian kedua-dua pihak akan dapat dipertingkatkan lagi, kata Clarice semasa merasmikan seminar tersebut.

Menurut beliau, terdapat enam pejabat Perkeso Negeri Sabah termasuk Pejabat Negeri Sabah di Kota Kinabalu. Pejabat itu berada di Keningau , Tawau, Lahad Datu, Sandakan dan Labuan.

Pegawai Eksekutif Perkeso Lahad Datu En. Ambutang Salleh menyampaikan Taklimat pada seminar tersebut
Selain dari itu, PERKESO juga ada membuka pejabat sementera di Kota Marudu, Kota Belud, Beaufort, Kudat, Ranau, Kunak, Semporna dan Beluran.

Tambahnya lagi, tahap kesedaran masyarakat di Sabah terhadap PERKESO masih rendah. Pelbagai usaha telah diambil untuk mendidik dan meningkatkan tahap kesedaran rakyat tentang fungsi dan peranan PERKESO  serta hak-hak mereka ( Pekerja ) terhadap faedah yang disediakan oleh PERKESO namun ianya perlu dipertingkatkan lagi.

Di antara inisiatif-inisiatif yang telah diambil oleh PERKESO sabah adalah memperhebatkan publisiti seperti ceramah mingguan di pejabat, mengadakan seranta, liputan akhbar dan siaran Radio FM dalam pelbagai bahasa/dialek termasuk Dusun, Kadazan, Cina dan Bajau, ujarnya lagi.

Antara peserta yang hadir pada Seminar tersebut
Dalam masa yang sama, dokumentasi di PERKESO amat penting seperti memproses tuntutan kes faedah berdasarkan kepada dokumen oleh orang yang berinsuran.

Ketua Daerah Tungku OKK Abdillah Hamzah menerima cenderahati dari Cik Clarice Claire Geoffery
Memandangkan Sabah dan Sarawak masih mengakitf dan menerima pakai undang-undang adat disamping Akta Perkahwinan dan Penceraian 1976, Institusi Ketua Anak Negeri dan Ketua Kampung adalah bertanggungjawab untuk mengesahkan perkahwinan dan juga kelahiran.

Gambar kenang-kenangan Cik Clarice Claire Geoffery bersama peserta seminar Perkeso
Oleh kerana Mahkamah Anak Negeri adalah salah satu sumber dokumen terutama sekali yang berhubung dengan perkahwinan, Mahkamah Anak Negeri diminta menggemaskini dan menyimpan rekod serta daftar dengan baik, kerana PERKESO perlu mendapatkan pengesahan terhadap dokumen-dokumen tersebut sebelum kes boleh diproses atau sebaliknya.

Cik Clarice turut serta dalam sessi Dialog bersama peserta seminar
Turut hadir pada seminar tersebut ialah Pegawai Kemajuan Masyarakat N49 Tungku Kamarudin Haji Hamid, Ketua Daerah Lahad Datu, OKK Sulaiman Atok dan Ketua Daerah Tungku OKK Abdillah Hamzah.

Ahad, Oktober 10, 2010

Derau Bahasa dan Sastera Bulan Bahasa Kebangsaan 2010 peringkat Daerah Lahad Datu


YB Datuk Ustaz Mohd Suhaili Hj. Said
Kg. Remang : Program Derau Bahasa dan Sastera Bulan Bahasa Kebangsaan 2010 peringkat Daerah Lahad Datu telah diadakan di komplek pendidikan Islam kampung Remang/Segangan julung-julung kalinya di daerah ini.

Program ini telah dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, Kerajaan Negeri Sabah, Pejabat Daerah Kecil Tungku dengan kerjasama Unit Pemimpin Kemajuan Rakyat N49 Tungku.

Matlamat program ini diadakan adalah untuk mengajak masyarakat menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa rasmi melalui bahasa ianya mengeratkan bangsa yang berbilang kaum di negara ini.
YB Datuk Suhaili sendiri ikut serta bergotong royong melapah daging Sapi
Selain itu, program ini juga diadakan bagi menyatukan dan mengeratkan silaturrahim di kalangan masyarakat dan pemimpin disamping dilaksanakan secara bergotong royong.

Kempen Bulan Bahasa Kebangsaan pada tahun ini merupakan kesinambungan usaha kerajaan untuk memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu.

Saya menggesa semua rakyat pelbagai kaum supaya memperbaharui  iltizam dan azam, memantapkan kualiti sahsiah, dan mengenal jati diri sebagai rakyat Malaysia. Tema Bulan Bahasa Kebangsaan pada tahun ini, iaitu 1 Bahasa, 1 Bangsa, 1 Negara bertepatan dengan gagasan 1 Malaysia yang diilhamkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kita, ujar YB Datuk Suhaili ketika merasmikan program tersebut di kompleks pendidikan Islam Kg. Remang.

Penduduk kampung bergotong royong dalam semua perkara

Saya sebagai Wakil Rakyat di kawasan Tungku amat berterima kasih atas sokongan daripada pelbagai pihak terutamanya kementerian, jabatan dan agensi kerajaan yang turut terlibat dalam kegiatan Derau Bahasa dan Sastera peringkat Daerah Lahad Datu.

Tambahnya lagi, inilah bukti usaha kita untuk memperkukuhkan kecintaan dan kemegahan terhadap bahasa kebangsaan kita. Sudah tentu usaha dan kerjasama pada peringkat daerah ini berupaya mempererat dan memperkukuh penyatuan rakyat Malaysia yang menjadi salah satu unsur penting dalam pembinaan tamadun bangsa dan negara Malaysia.

Katanya lagi, semua kementerian, Jabatan dan Agensi Kerajaan menggunakan Bahasa Kebangsaan dalam semua urusan dan majlis rasmi, sepanjang masa, khususnya sepanjang Bulan Bahasa Kebangsaan.

Sebelum itu, program dimulakan pada sebelah paginya dengan membuat penyembelihan dua ekor sapi yang disumbangkan oleh pihak pengurusan Felda Sahabat bagi menjayakan majlis tersebut.

Kaum wanita turut serta bergotong royong melaksanakan program tersebut
Semua kerja-kerja dan persiapan bagi program Derau Bahasa Dan Sastera dilaksanakan secara bergotong-royong sesuai dengan objektifnya yang berasaskan semangat gotong royong bagi mengeratkan silaturrahim di antara pemimpin dan masyarakat

ALBUM KENANGAN... AJK Pelaksana Derau Bahasa peringkat Daerah Lahad Datu dan Pasukan Bola Sepak Segangan FC
Selain itu, pada petangnya, satu perlawanan persahabatan bola sepak di antara Kelab Segangan FC melawan ahli jawatankuasa penganjur Derau Bahasa daerah Lahad Datu yang diadakan di padang Kg. Segangan. Keputusan perlawanan seri dua sama, yang turut disaksikan oleh YB Datuk Suhaili dan Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka En. Zubaidi Abas.

Pada sebelah malamnya pula, program ini diteruskan persembahan kebudayaan daripada suku kaum di kawasan Tungku dan persembahan hiburan oleh artis Akedemi Fantasi iaitu Felex Agus yang dibawakan khas oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah. Seramai 1200 orang hadir pada malam perasmian majlis tersebut.
Antara pemimpin masyarakat yang hadir menjayakan program tersebut

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah En. Zubaidi bin Abas, Penolong Pegawai Daerah Lahad Datu En. Juraimin Hj. Jadil, Penolong Pegawai Daerah Kecil Tungku, En Ibrahim Hj. Abd Hakim, Ketua Daerah Tungku dan Pemimpin Kemajuan Rakyat N49 Tungku Datu Baniamin Datu Jamaluddin.

Jumaat, Oktober 08, 2010

Kejohanan Bola Sepak Liga Sabas Tagajoh Gayoh Peringkat Dun Tungku

Tungku - Sebanyak 25 pasukan merantap merebut piala Datuk Suhaili bagi kejohonan Liga Sabas Tagajoh Gayoh Peringkat Dun Tungku, terdiri dari kampung Segangan, Bikang, Binuang dan Felda Sahabat.

Anggota Dewan Undangan Negeri ( ADUN ) N49 Tungku Datuk Ustaz Mohd Suhaili Haji Said mengingatkan kepada para pemain secara sihat dengan semangat kesukanan, kalah dan menang adat bersukan yang menang mendapat hadiah yang kalah mendapat saguhati, katanya ketika merasmi dan melancar Liga Sabas Tagajoh Gayoh (Datuk Seri Musa Haji Aman) Peringkat Dun Tungku Ahad lalu.

Justeru itu katanya, biarlah kita bermain dengan semangat muhibbah kerana melalui sukan seperti bola sepak yang diadakan hari ini dapat mengeratkan silaturrahim di kalangan para belia yang datangnya dari lain-lain kampung.

Suhaili yang juga Naib Presiden Persatuan Bangsa Sabah ( Sabas ) memuji langkah yang dibuat Pengerusi Biro Sukan Sabas Azman Haji Mastar dan AJK nya kerana berjaya menganjurkan kejohanan yang sebegini besar dan julung-julung kali diadakan.

Dengan adanya liga bola sepak seperti ini dapatlah mengharumkan nama persatuan dan lebih dikenali dikalangan masyarakat, katanya.

Sebelum itu, Pengerusi Sukan Sabas, Azman Haji Mastar mengucapkan tahniah kepada pengerusi dan pelaksana Liga Sabas Tagajoh Gayoh Dun Tungku Mohamad Haji Sarangit dan AJK kerana berjaya melaksana penganjuran dengan begitu baik sekali.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Datuk Suhaili kerana memberi kerjasama kepada AJK pelaksana sehingga berjaya menganjurkan liga bola sepak ini.

Justeru itu katanya, para belia diingat agar terus memberi sokongan padu kepada wakil rakyat berkenaan.

" Saya juga ingin menyampaikan amanat Tagajoh Gayoh Datuk Seri Musa Haji Aman ketika beliau merasmi dan melancarkan Liga Sabas Tagajoh Gayoh di padang Bandaran Sandakan bulan Mei yang lalu meminta agar belia dapat menyertai sebarang bentuk sukan seperti bola sepak, kerana dengan bersukan para belia dapat mengerat perpaduan kaum dan mengelakkan daripada gejala sosial.

Oleh itu kata Azman, para belia hari ini hendaklah menyokong penuh kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Musa Haji Aman, agar apa juga permasalahan para belia kerajaan dapat membantunya.

" Setelah selesai Liga Sabas peringkat Dun dan Parlimen kita akan mengadakan pertandingan di peringkat negeri untuk merebut Piala Tagajoh Gayoh Datuk Seri Musa Aman secepat mungkin, " kata Azman.

Turut hadir di majlis tersebut, Ketua Daerah Lahad Datu Datu Sulaiman Atok, Ketua Pemuda Umno Kinabatangan Matmin Etin dan AJK Biro Sukan Sabas serta pemimpin setempat.

Khamis, Oktober 07, 2010

Penjagaan alam sekitar tanggungjawab bersama


Bagi memberi pendedahan awal kepada pelajar mengenai penjagaan alam sekitar, satu Program Alam Sekitar bersama Felda Sahabat di Tungku dengan kerjasama Agensi-Agensi Alam Sekitar telah diadakan selama tiga hari bermula sejak Jumaat lepas.

SIMBOLIK.. Suhaili menandatangani plak sebagai tanda pelancaran Program Alam Sekitar Anjuran Earthlicious dengan kerjasama Agensi Alam Sekitar dan Felda Sahabat.
Mensasarkan pelajar di kawasan setempat, program julung kalinya ini memberi peluang kepada pelajar untuk mengetahui dengan lebih mendalam berkenaan dengan alam sekitar.

SEMANGAT... Pelajar UMS bersorak ' Together We Save The World ' bagi mengingatkan betapa pentingnya semua pihak menghargai alam sekitar untuk generasi akan datang
Selain sebagai satu medium untuk berinteraksi secara langsung dengan agensi-agensi alam sekitar yang terlibat, ia juga membina sahsiah diri para pelajar betapa pentingnya menjaga alam sekitar demi menjamin kesinambungan untuk generasi akan datang.

PENGHARGAAN... Suhaili menerima cenderamata kenangan disampaikan Marja Azlima (dua dari kanan) sambil disaksikan Haji Juany (dua dari kiri)
Program adalah anjuran Kumpulan Earthlicious, Kursus Politik Alam Sekitar Antarabangsa dan Program Hubungan Antarabangsa di Sekolah Sains Sosial, Unversiti Malaysia Sabah ( UMS ).

Bertemakan ' Together We Save The World ' itu, program ini adalah melibatkan kesemua pelajar Hubungan Antarabangsa Tahun 3 serta pelajar-pelajar di Felda Sahabat, agensi-agensi alam sekitar serta pensyarah Kelab Hubungan Antarabangsa di Sekolah Sains Sosial, UMS.

Program sebegini akan menerapkan satu pendedahan yang baru serta memperlihatkan kredibiliti mahasiswa dan mahasiswi dalam usaha mempamer semangat cintakan alam sekitar.

Ia juga merupakan satu medium untuk menyalurkan pendedahan serta memupuk kesedaran ke atas pelajar-pelajar Felda Sahabat di samping menerapkan hubungan silaturrahim di antara mahasiswa dan mahasiswi dengan penduduk setempat.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) N49 Tungku merangkap Presiden Majlis Hal-Ehwal Anak Negeri Sabah ( MHEANS ), Datuk Ustaz Mohd Suhaili Haji Said telah menyempurnakan pelancaran program tersebut yang berlangsung di Dewan Dewa Kencana, Felda Sahabat, Ahad.

Berucap pada pelancarannya, Suhaili memuji usaha serta inisaitif pihak penganjur melaksanakan program yang memberikan banyak manfaat terutamanya kepada genarasi akan datang. 

" Melihat kepada tema program ini iaitu ' Together We Save The World ' merupakan satu bukti komitmen pihak penganjur terhadap penjagaan alam sekitar ".

" Saya percaya program seperti ini adalah platform terbaik bagi kita berkongsi bukan sahaja masalah tetapi juga idea-idea penyelesaiannya, " katanya.
Beliau percaya program ini merupakan usaha yang sangat positif selaras dengan usaha kerajaan untuk meningkatkan kesedaran dan kefahaman masyarakat mengenai peripentingnya penjagaan alam sekitar demi memastikan kehidupan lebih selamat dan sejehtera.

TERIMA SEADANYA... Suhaili menyampaikan buah tangan berberntuk barangan hamper kepada salah seorang keluarga angkat sambil diperhatikan Biyamin di majlis tersebut.
Tambahnya, apabila bercakap mengenai penjagaan alam sekitar ada sesetengah pihak berpendapat bahawa kemusnahannya sudah tidak dapat dielakkan sekiranya kita mahu mengejar pembangunan dan kemajuan ekonomi.

" Mereka merasakan bahawa usaha-usaha untuk meningkatkan kesedaran alam sekitar seperti program yang dianjurkan pagi ini hanyalah suatu aktiviti yang membuang masa dan wang."

Ini sama sekali satu pandangan yang tidak releven kerana pada masa ini telah wujud pelbagai teknologi baru yang bukan saja menjimatkan kos tetapi juga mesra alam, " katanya.

Terdahulu, Penyelaras Program berkenaan iaitu Marja Azlima Omar memberitahu penganjuran program seperti ini sememangnya menjadi wadah kepada kita dalam menjalin dan memantapkan lagi jalinan ukhuwah.

Selain itu, tegasnya, ia juga dapat memupuk kesedaran di kalangan mahasiswa dan mahasiswi serta pelajar-pelajar yang terlibat betapa pentingnya alam sekitar dalam kehidupan seharian.

" Di samping itu, program seumpama ini dapat memberikan pendedahan kepada golongan mahasiswa-mahasiswi dari segi cara hidup bermasyarakat, meningkatkan persefahaman budaya dan latar belakang penduduk di sekitar luar kampus".

" Maka dengan ini, para peserta adalah sangat beruntung kerana menyertai program kemasyarakatan dianjurkan dan berpeluang pula menikmati pengalaman sebenar semasa berada di tempat orang dan bergaul dengan masyarakat setempat yang sentiasa menyambut baik dengan kehadiran mahasiswa-mahasiswi di Felda Sahabat, " kata Marja Azlima.

Sementara itu, Pengarah Program berkenaan Mohd Biyamin Razak menegaskan mahasiswa-mahasiswi merupakan pewaris kepada kepimpinan negara, selain mempertingkatkan tahap pencapaian akademik agar mampu untuk berdaya saing, golongan tersebut adalah wajib untuk memperkukuhkan intergriti dan jati diri bagi menhadapi apa-apa juga permasalahan sosial yang semakin mencabar hari ini.

Menurut beliau, program seumpama ini merupakan satu usaha bagi memberi pengetahuan , kesedaran dan menerapkan semangat cinta serta menghargai alam sekitar terdapat penduduk setempat dalam usaha memelihara dan memulihahara alam sekitar sekali gus mengeratkan ikatan silaturrahim antara pelajar UMS dengan penduduk Felda Sahabat.

Hadir sama Pengurus Besar Felda Sahabat, Haji Juany bin Haji Salleh dan keluarga angkat masing-masing.

Selasa, Oktober 05, 2010

Projek PPMS bukti keprihatinan BN

Tungku : Program Penempatan Masyarakat Setempat ( PPMS ) untuk kawasan Parlimen P 188 Silam menunjukkan bahawa keprihatinan kerajaan Barisan Nasional ( BN ) dalam usaha mengatasi masalah miskin tegar.

BINCANG... Suhaili (dua dari kiri) membincangkan sesuatu semasa melakukan  lawatan ke tapak PPMS di Tungku
Anggota Dewan Undangan Negeri ( ADUN ) N49 Tungku, Datuk Ustaz Mohd Suhaili Hj. Said, berkata kerajaan kini menggerakkan usaha bagi menghapuskan masalah kemiskinan terutama kemiskinan tegar melibatkan kawasan di luar bandar.

“ Ini termasuk program pembangunan yang meliputi sektor pembangunan prasarana, pembangunan ekonomi dan pembangunan modal insan yang sedang diperhebatkan sekarang, ” katanya kepada Utusan Borneo semasa melakukan lawatan ke tapak projek PPMS di sini, pada Ahad lepas.

Suhaili, yang juga Presiden Majlis Hal-Ehwal Anak Negeri Sabah ( MHEANS ) mengambil contoh projek PPMS yang hampir 80 peratus siap itu memberikan banyak manfaat apabila konsep pembinaannya mencerminkan keprihatinan kerajaan dalam membantu rakyat akar umbi.

Ini katanya, projek PPMS amat ‘ Mesra Rakyat ’ apabila penempatan secara terancang itu meliputi semua bentuk kemudahan yang ada antaranya surau, dewan, tabika dan kolam ikan.

“ Ini menunjukkan bahawa komitmen kerajaan untuk membantu rakyat selain membuktikan setiap janji-janji pada pilihanraya terus ditunaikan.

“ Kerajaan BN adalah parti terbaik bagi semua rakyat dan buktinya seperti projek PPMS yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan penduduk di situ ”.

“ Saya yakin dan percaya rakyat terus mendapat lebih banyak manfaat dengan program pembangunan secara terancang itu, ” kata Adun Tungku ini.

Dalam hubungan ini, beliau berkata kerajaan BN perlu dikekalkan demi pembangunan berterusan dan kesejahteraan rakyat di negeri ini.

Katanya, rakyat hendaklah menolak parti pembangkang kerana ia tidak akan mampu membawa pembangunan seperti mana BN yang sudah pun terbukti sejak sekian lamanya.