Ahad, Oktober 10, 2010

Derau Bahasa dan Sastera Bulan Bahasa Kebangsaan 2010 peringkat Daerah Lahad Datu


YB Datuk Ustaz Mohd Suhaili Hj. Said
Kg. Remang : Program Derau Bahasa dan Sastera Bulan Bahasa Kebangsaan 2010 peringkat Daerah Lahad Datu telah diadakan di komplek pendidikan Islam kampung Remang/Segangan julung-julung kalinya di daerah ini.

Program ini telah dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, Kerajaan Negeri Sabah, Pejabat Daerah Kecil Tungku dengan kerjasama Unit Pemimpin Kemajuan Rakyat N49 Tungku.

Matlamat program ini diadakan adalah untuk mengajak masyarakat menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa rasmi melalui bahasa ianya mengeratkan bangsa yang berbilang kaum di negara ini.
YB Datuk Suhaili sendiri ikut serta bergotong royong melapah daging Sapi
Selain itu, program ini juga diadakan bagi menyatukan dan mengeratkan silaturrahim di kalangan masyarakat dan pemimpin disamping dilaksanakan secara bergotong royong.

Kempen Bulan Bahasa Kebangsaan pada tahun ini merupakan kesinambungan usaha kerajaan untuk memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu.

Saya menggesa semua rakyat pelbagai kaum supaya memperbaharui  iltizam dan azam, memantapkan kualiti sahsiah, dan mengenal jati diri sebagai rakyat Malaysia. Tema Bulan Bahasa Kebangsaan pada tahun ini, iaitu 1 Bahasa, 1 Bangsa, 1 Negara bertepatan dengan gagasan 1 Malaysia yang diilhamkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kita, ujar YB Datuk Suhaili ketika merasmikan program tersebut di kompleks pendidikan Islam Kg. Remang.

Penduduk kampung bergotong royong dalam semua perkara

Saya sebagai Wakil Rakyat di kawasan Tungku amat berterima kasih atas sokongan daripada pelbagai pihak terutamanya kementerian, jabatan dan agensi kerajaan yang turut terlibat dalam kegiatan Derau Bahasa dan Sastera peringkat Daerah Lahad Datu.

Tambahnya lagi, inilah bukti usaha kita untuk memperkukuhkan kecintaan dan kemegahan terhadap bahasa kebangsaan kita. Sudah tentu usaha dan kerjasama pada peringkat daerah ini berupaya mempererat dan memperkukuh penyatuan rakyat Malaysia yang menjadi salah satu unsur penting dalam pembinaan tamadun bangsa dan negara Malaysia.

Katanya lagi, semua kementerian, Jabatan dan Agensi Kerajaan menggunakan Bahasa Kebangsaan dalam semua urusan dan majlis rasmi, sepanjang masa, khususnya sepanjang Bulan Bahasa Kebangsaan.

Sebelum itu, program dimulakan pada sebelah paginya dengan membuat penyembelihan dua ekor sapi yang disumbangkan oleh pihak pengurusan Felda Sahabat bagi menjayakan majlis tersebut.

Kaum wanita turut serta bergotong royong melaksanakan program tersebut
Semua kerja-kerja dan persiapan bagi program Derau Bahasa Dan Sastera dilaksanakan secara bergotong-royong sesuai dengan objektifnya yang berasaskan semangat gotong royong bagi mengeratkan silaturrahim di antara pemimpin dan masyarakat

ALBUM KENANGAN... AJK Pelaksana Derau Bahasa peringkat Daerah Lahad Datu dan Pasukan Bola Sepak Segangan FC
Selain itu, pada petangnya, satu perlawanan persahabatan bola sepak di antara Kelab Segangan FC melawan ahli jawatankuasa penganjur Derau Bahasa daerah Lahad Datu yang diadakan di padang Kg. Segangan. Keputusan perlawanan seri dua sama, yang turut disaksikan oleh YB Datuk Suhaili dan Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka En. Zubaidi Abas.

Pada sebelah malamnya pula, program ini diteruskan persembahan kebudayaan daripada suku kaum di kawasan Tungku dan persembahan hiburan oleh artis Akedemi Fantasi iaitu Felex Agus yang dibawakan khas oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah. Seramai 1200 orang hadir pada malam perasmian majlis tersebut.
Antara pemimpin masyarakat yang hadir menjayakan program tersebut

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah En. Zubaidi bin Abas, Penolong Pegawai Daerah Lahad Datu En. Juraimin Hj. Jadil, Penolong Pegawai Daerah Kecil Tungku, En Ibrahim Hj. Abd Hakim, Ketua Daerah Tungku dan Pemimpin Kemajuan Rakyat N49 Tungku Datu Baniamin Datu Jamaluddin.

0 Hantarkan Komen Anda di sini:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.