Selasa, Oktober 05, 2010

Projek PPMS bukti keprihatinan BN

Tungku : Program Penempatan Masyarakat Setempat ( PPMS ) untuk kawasan Parlimen P 188 Silam menunjukkan bahawa keprihatinan kerajaan Barisan Nasional ( BN ) dalam usaha mengatasi masalah miskin tegar.

BINCANG... Suhaili (dua dari kiri) membincangkan sesuatu semasa melakukan  lawatan ke tapak PPMS di Tungku
Anggota Dewan Undangan Negeri ( ADUN ) N49 Tungku, Datuk Ustaz Mohd Suhaili Hj. Said, berkata kerajaan kini menggerakkan usaha bagi menghapuskan masalah kemiskinan terutama kemiskinan tegar melibatkan kawasan di luar bandar.

“ Ini termasuk program pembangunan yang meliputi sektor pembangunan prasarana, pembangunan ekonomi dan pembangunan modal insan yang sedang diperhebatkan sekarang, ” katanya kepada Utusan Borneo semasa melakukan lawatan ke tapak projek PPMS di sini, pada Ahad lepas.

Suhaili, yang juga Presiden Majlis Hal-Ehwal Anak Negeri Sabah ( MHEANS ) mengambil contoh projek PPMS yang hampir 80 peratus siap itu memberikan banyak manfaat apabila konsep pembinaannya mencerminkan keprihatinan kerajaan dalam membantu rakyat akar umbi.

Ini katanya, projek PPMS amat ‘ Mesra Rakyat ’ apabila penempatan secara terancang itu meliputi semua bentuk kemudahan yang ada antaranya surau, dewan, tabika dan kolam ikan.

“ Ini menunjukkan bahawa komitmen kerajaan untuk membantu rakyat selain membuktikan setiap janji-janji pada pilihanraya terus ditunaikan.

“ Kerajaan BN adalah parti terbaik bagi semua rakyat dan buktinya seperti projek PPMS yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan penduduk di situ ”.

“ Saya yakin dan percaya rakyat terus mendapat lebih banyak manfaat dengan program pembangunan secara terancang itu, ” kata Adun Tungku ini.

Dalam hubungan ini, beliau berkata kerajaan BN perlu dikekalkan demi pembangunan berterusan dan kesejahteraan rakyat di negeri ini.

Katanya, rakyat hendaklah menolak parti pembangkang kerana ia tidak akan mampu membawa pembangunan seperti mana BN yang sudah pun terbukti sejak sekian lamanya.

0 Hantarkan Komen Anda di sini:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.