Jumaat, September 24, 2010

Kunjung-mengunjung eratkan silaturrahim


Kemeriahan majlis rumah terbuka sepanjang bulan Syawal menterjemahkan segala-galanya betapa kukuh jalinan muhibah di kalangan rakyat berbilang bangsa dan agama di negara ini.

Perpaduan yang kukuh itu turut menterjemahkan bahawasanya semangat 1Malaysia sudah lama berputik sekali gus menunujukkan rakyat negara ini berpegang pada prinsip saling hormat-menghormati sesama sendiri.

Uniknya, kunjungan tetamu terdiri dari berbilang bangsa bukan sahaja berseorangan bahkan mereka datang secara beramai-ramai sambil bersalaman dan bertanyakan khabar.

Ia menunjukkan semangat silaturrahim sentiasa berputik kerana kestabilan politik dan keharmonian negara adalah tanggungjawab bersama.

Menurut Penolong Pegawai Tadbir, Unit Pemimpin Kemajuan Rakyat (UPKR) dari Ibu Pejabat di Jabatan Ketua Menteri (JKM) En. Said Kani, ekoran semangat silaturrahim yang tinggi di kalangan rakyat telah mendorong sesetengah negara menjadikan Malaysia sebagai contoh terbaik.

" Negara kita memang unik sekali, meski pun terdiri dari berbilang bangsa dan agama tetapi saling hormat-menghormati membolehkan perpaduan yang terjalin bertambah erat," katanya kepada Utusan Borneo".

Beliau berkata begitu pada Majlis Jamuan Aidilfitri di sebuah restoran terkemuka di bandar Lahad Datu pada malam Rabu lepas sempena lawatan rasmi rombongannya keatas UKKR N49 Tungku dan N50 Lahad Datu.

Hadir sama Pemimpin Kemajuan Rakyat (PKR) Tungku, Datu Baniamin Datu Jamaludin dan PKR Lahad Datu, Aljen Johnny serta pegawai-pegawai UKPR dari kawasan terbabit.

Kata Said, konsep rumah terbuka yang diamalkan di Malaysia sebenarnya memberi mesej jelas semangat 1Malaysia terus subur.

Ini kerana, katanya konsep sedemikian jarang-jarang kita lihat di negara-negera lain melainkan di Malaysia yang umum mengetahui penduduknya terdiri dari pelbagai lapisan masyarakat.

" Sebenarnya, konsep rumah terbuka telah memberi banyak manfaat bukan sekadar dapat berjabat tangan sambil bertanya khabar bahkan tetamu yang datang turut dihidangkan dengan juadah yang menyelerakan yang sudah pasti mengukuhkan lagi hubungan perpaduan yang terjalin,": tambah beliau.

Beliau berkata, tambahan pula gagasan 1Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak tentu akan membawa lebih banyak kejayaan pada masa akan datang,

Sementera itu, Datu Baniamin pula menegaskan semangat toleransi ini adalah hasil kesedaran rakyat yang mengambil iktibar dari keperitan hidup pada zaman penjajahan suatu ketika dahulu.

Menurut beliau, ia perlu dikekalkan kerana kejayaan sesebuah bangsa dan negara apabila penduduknya saling bersatu.

" Semangat toleransi ini memberi kekuatan kepada kita untuk mengorak kemajuan yang lebih pesat apatah lagi negara sedang menuju ke era Wawasan 2020, " jelasnya.

Ujarnya, sikap suka bertelagah tidak akan memberi apa-apa kebaikan bahkan kemudaratan dan oleh hal demikian semua pihak perlu berganding bahu bagi memastikan keharmonian terus dikecapi sampai bila-bila.

" Tengoklah sesetengah negara yang suka bertelagah tidak ada apa-apa yang boleh dibanggakan hanya kerana tengok keadaan porak-poranda yang berlaku.

" Jesteru, kita perlu mengelak semua itu. Pun begitu, saya berbangga dengan cara hidup masyarakat Malaysia yang lebih mengutamakan perpaduan kaum di mana semangat sedemikian telah membolehkannya begitu terkenal sebagai di antara negara wajar menjadi ikutan, " kata Datu Baniamin.

0 Hantarkan Komen Anda di sini:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.