Rabu, September 01, 2010

Pemimpin sepakat teruskan projek

Loji Janakuasa arang batu di Kapar, Selangor
Lahad Datu - Kononnya sejarah loji janakuasa arang batu telah digunakan untuk menghasilkan tenaga elektrik semenjak 1880-an di Amerika Syarikat.

Dalam tahun 1920-an pembakaran arang batu serbuk diperkenalkan untuk penambahbaikan pembakaran serta untuk meningkatkan kecekapan loji.

Penambahbaikan dalam semua segi untuk loji janakuasa di samping mesin-mesin baru berinovatif telah menyebabkan penjanaan menggunakan arang batu semakin murah dan digunakan secara meluas pada hari ini,

Kebanyakan penambahbaikan adalah berkisar kepada teknologi mesra alam atau ' Clean Coal '. Di Malaysia, loji janakuasa pertama yang menggunakan arang batu telah dibina di Kapar, Selangor oleh Lembaga Letrik Negara ( LLN ) pada tahun 1988.

Stesen Janakuasa Arang Batu di Manjong, Perak
Buat masa sekarang, terdapat empat loji janakuasa terbesar di Semenanjung Malaysia ( 7200MW) dan dua di Sarawak (480MW).

Bagaimanapun, di Lahad Datu cadangan pembinaan loji janakuasa arang batu di Teluk Dent dekat Sinakut menimbulkan banyak masalah.

Ini berukutan bantahan hebat yang dikemukakan oleh pihak pencinta alam sekitar yang mendakwa arang batu mampu mencemarkan alam sekitar selain menggugat kesihatan penduduk setempat.

Berikutan bantahan itu, kerajaan perlu menerima laporan penuh dariapada Kajian Terperinci Kesan Alam Sekitar ( EIA ) sebelum projek berkenaan dilaksanakan.

Namun demikian, bagi penduduk Tungku mereka amat mengharapkan pembinaan loji janakuasa arang batu di Teluk Dent diteruskan.

Penduduk Lahad Datu mahukan Loji Arang Batu diteruskan
Apa pun berlaku sama ada ia masih dikaji atau dibatalkan sekali pun mereka tetap dengan pendirian kukuh supaya pembinaan loji berkenaan dapat diteruskan atas alasan untuk memberikan bekalan tenaga yang mencukupi di Pantai Timur Sabah.

Tambahan pula Lahad Datu yang terkenal dengan jolokan sebagai ' Bandar Palma ' sedang pesat membangun dengan kewujudan Taman Perindustrian Hiliran Kelapa Sawit ( POIC ) Lahad Datu dan industri-industri hiliran lain berasaskan sektor perikanan serta perlancongan.

Tapak cadangan Lapangan Terbang di kawasan Silabukan
Terbaru, Lapangan Terbang Baru Lahad Datu yang dicadangkan di kawasan Silabukan, Tungku bagi menggantikan lapangan terbang sedia ada.

Pembangunan secara terancang itu tentulah memerlukan bekalan tenaga yang mencukupi bagi melancarkan operasinya nanti.

Andai kata bekalan tenaga masih merupakan antara masalah utama di Tungku, jadi bagaimana pula dengan kegiatan pembangunan yang sedang rancak dirangka sekarang ini.

" Inilah antara masalah yang kami fikirkan. Kegiatan pembangunan begitu rancak dengan pembinaan  POIC dan terbaru pula wujudnya sebuah lapangan terbang baru di kawasan Silabukan."

Tentunya ia memerlukan sebuah janakuasa induk yang dapat menyokong operasinya tetapi jikalau bekalan tenaga tidak stabil macam mana pula , " kata Ketua Daerah Lahad Datu, OKK Sulaiman Pengiran Atok.

Dalam satu temubual eksklusif bersama Utusan Borneo di sebuah hotel di bandar berkenaan pada malan Ahad lepas, OKK Sulaiman, 57, berharap pembinaan loji janakuasa arang batu di Teluk Dent dapat diteruskan.

Ini kerana, katanya, masalah bekalan tenaga yang seringkali terputus antara penyebab betapa perlu loji seumpana itu bagi membantu mengurangkan masalah berlarutan sejak sekian lamanya ini.

Beliau, adalah salah seorang pemimpin masyarakat di Lahad Datu mahu supaya loji seumpama itu dilaksanakan segera.

" Sebab, saya mengambil kita kepentingan masyarakat yang selama ini dibelenggu dengan masalah elektrik yang dikatakan seringkali terputus," jelasnya semasa ditemui pada majlis Bebuka Puasa bersama penduduk Tungku anjuran Jawatankuasa Bertindak Rakyat Menyokong Pembinaan Loji Janakuasa Arang Batu di Teluk Dent, Sinakut."

Suhaili turut hadir berbuka puasa
Majlis berkenaan turut dihadiri oleh Anggota Dewan Undangan Negeri ( ADUN ) N49 Tungku, Datuk Ustaz Mohd Suhaili Hj. Said.

OKK Sulaiman percaya apabila wujudnya arang batu bukan sahaja merancakkan proses pembangunan berasaskan pertanian, perikanan dan perlancongan tetapi juga membantu kanak-kanak sekolah apabila mengulangkaji pelajaran pada waktu malam.

Sementera itu, Ketua Daerah Tungku, OKK Abdillah Hamzah pula mahu pembinaan loji berkenaan disegerakan.

OKK Abdillah Hamzah
Ini katanya, penduduk di kawasan Tungku khususnya masih menghadapi masalah bekalan elektrik yang kritikal sekali gus menjejaskan kehidupan harian penduduk setempat.

" Bayangkanlah, dalam satu malam sampai dua kali bekalan elektrik terputus, Yang mengecewakan anak-anak yang mengulangkali pelajaran di rumah akan terganggu akibat kekerapan gangguan belakan elektrik," beritahunya.

Lantaran itu, OKK Abdillah, 66, menyokong penuh pembinaan loji janakuasa arang batu yang dicadangkan di Teluk Dent dekat Sinakut sekali gus mengurangkan masalah bekalan elektrik selama ini.

 Beliau kurang setuju kononnya arang batu boleh mencemarkan alam sekitar sedangkan dalam lawatan mereka ke loji janakuasa di beberapa negeri mendapati ianya dikawal secara rapi pada setiap masa.

Raut Bani
Bagi Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung ( JKKK ) Kg. Sungai Merah dan Kg. Sinakut iaitu Raut bin Bani memberitahu sudah tiba masanya bagi perkampungan mereka menikmati bekalan elektrik secara 24 jam.

Ujarnya, sampai bila pula mereka perlu menggunakan generator sedangkan kawasan-kawasan lain sudah dapat menikmati bekalan elektrik sendiri.

" Kami inginkan perubahan di Sinakut dan sebab itulah kami menyokong pembinaan loji janakuasa arang batu sebab kami tahu ia bukan saja membawa bekalan elektrik tetapi akan mewujudkan peluang-peluang perniagaan kepada penduduk setempat, " jelasnya.

Raut, 52, memberitahu pihak yang bertanggungjawab bagi melaksanakan projek tersebut akan menjalankan langkah-langkah kawalan apabila ia beroperasi nanti.

Dia tidak setuju dengan pandangan sesetengah pihak kononnya loji seumpama itu akan mencemarkan alam sekitar sedangkan dalam lawatan yang pernah diikutinya dulu tidak pula menunjukkan tanda-tanda pencemaran.

" Saya nampak setiap operasi arang batu dikawal rapi malahan terdapat burung layang-layang yang bebas terbang di sekitar loji janakuasa arang batu, " ujarnya.

Imam Rawatib di Kg. Sinakut, Abdul Mutalib Alias juga menyokong penuh pembinaan loji berkenaan dan menurutnya ia perlu dibina segera bagi mengatasi masalah bekalan elektrik sejak sekian lama.

Katanya, ia bukan sahaja memberi manfaat dari segi menyalurkan bekalan elektrik secara 24 jam tetapi turut memberi peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

" Saya sokong, itu saja, " kata Abd Mutalib, 60, dari Sinakut.

Seorang belia dari bandar Lahad Datu iaitu Azmi Salahuddin juga mahu loji berkenaan diteruskan di Teluk Dent.

Azmi, 21, percaya Lahad Datu yang pesat membangun sekarang ini akan muncul antara daerah penyumbang terbesar kepada ekonomi negeri sekiranya arang batu menjadi kenyataan kelak.

Dalam pada itu, Ketua Kampung Telisai, Maihaddin Alibasa, juga menyokong penuh cadangan bagi pembinaan loji janakuasa arang batu di Teluk Dent itu.

Ini kerana, katanya sejak kebelakangan ini daerah Lahad Datu seringkali mengalami gangguan bekalan yang bukan lagi perkara baru bagi mereka sebagai penduduk di Tungku itu.

" Saya sokong dengan loji arang batu yang dilihat akan mengatasi masalah yang membelenggu penduduk setelah sekian lama. Saya harap ia bakal menjadi kenyataan, " kata Maihaddin, 53, ketika ditemui.

Wakil Ketua Anak Negeri ( WKAN ) Tungku, Abd Rahman Haji Basar pula mahu supaya kerajaan meneruskan projek tersebut.

Abdul Rahman, 44, berkata daerah Lahad Datu sedang pesat membangun dan tentu ia memerlukan sebuah janakuasa induk yang dapat mengatasi gangguan bekalan.

Kamarudin Haji Hamid
Pegawai Kemajuan Masyarakat ( CDO ) Tungku, Kamarudin Haji Hamid, percaya apabila loji berkenaan menjadi kenyataan maka Lahad Datu akan berkembang pesat dengan pelbagai kegiatan pembangunan.

" Sebab itu, kami amat menyokong penuh pembinaannya sebab kami tahu loji arang batu begitu penting untuk ekonomi Lahad Datu yang terletak di titik paling akhir dalam peta negara ini, " katanya.

Justeru, Kamarudin, 36, mahu pembinaan loji arang batu dapat diteruskan ke arah merancakkan program pembangunan yang berasaskan pertanian, perikanan dan pelancongan.

Abd Hadji Asari
Bagi Pengerusi Biro Alam Sekitar UMNO Bahagian Silam iaitu Abdul Hadji Asari percaya loji janakuasa arang batu tidak akan mencemarkan alam sekitar.

Ini kerana, katanya, pihak yang akan menjalankan pembinaan projek berkenaan seperti Lahad Datu Energy ( LDE ) akan menjalankan pemantauan rapi samada proses pembinaannya mahu pun setelah beroperasi nanti.

" Saya yakin ia mungkin tidak akan mencemarkan berdasarkan kepada lawatan yang kami ikuti ke beberapa loji janakuasa arang batu di Semenanjung Malaysia yang operasinya dikawal rapi pada setiap masa.

" Malahan, burung Layang-Layang yang kita tahu amat sensitif dengan gangguan di sekitarnya boleh terbang bebas di kawasan arang batu bahkan hinggap di bangunan kosong untuk burung berkenaan bersarang, " beritahunya.

Abdul Hadji yang juga Pemaju Mukim Silabukan mengharapkan agar projek loji janakuasa arang batu akan menjadi kenyataan memandangkan pembangunan Lahad Datu sedang berjalan lancar.

Jelasnya, ini termasuklah projek mega POIC dan sebuah lapangan terbang baru dicadangkan di Silabukan mendorong perlu janakuasa induk seperti loji janakuasa arang batu di Teluk Dent dekat Sinakut itu.

0 Hantarkan Komen Anda di sini:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.