Khamis, Mei 27, 2010

Program Mesra Rakyat Parlimen Silam 2010

Kg. Sri Darun - Program Mesra Rakyat Parlimen Silam 2010 diadakan di Balai Raya Kg. Sri Darun yang dianjurkan oleh KEMAS dan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah ( KKLW ) yang dirasmikan oleh Pemimpin Kemajuan Rakyat N49 Tungku Datu Baniamin Datu Jamaluddin mewakili YB Datuk Ustaz Mohd Suhaili Hj. Said ADUN N49 Tungku yang kini berada di Kuala Lumpur menghadiri mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Felda.

Objektif program ini ialah meuar-uarkan program KEMAS kepada masyarakat setempat, merapatkan hubungan antara pemimpin masyarakat ( JKKK ), pihak kerajaan dan masyarakat kampung, menggalakkan penyertaan dan penglibatan aktif anggota masyarakat kampung tanpa mengira umur, keturunan, bangsa dan anutan agama dalam semua aktiviti kampung dan mempertingkatkan kesedaran sivik dan pengetahuan sebagai akses kepada pembangunan modal manusia.

Datu Baniamin berharap agar pemimpin-pemimpin akar umbi yang telah dilantik dalam melaksana objektif kerajaan hendaklah sentiasa turun padang, mendekati masyarakat di kawasan masing-masing dan seterusnya menyelesaikan setiap permasalahan yang dihadapi oleh penduduk kampung. Bukan hanya sekadar menjawat jawatan di kampung, tetapi merealisasikan matlamat kerajaan mendahulukan rakyat dan seterusnya meningkatkan pencapaian prestasi kerja sebagaimana yang disarankan oleh Perdana Menteri Datu Seri Najib Tun Abd Razak.

Turut hadir pada program tersebut ialah Ketua Daerah Tungku En. Abdillah Hamzah, Penyelia Kanan Perhubungan, Tuan Ladjarasa Hj. Mohd Nor, Ketua Anak Negeri Tungku En. Allen Kiang, Datu Ramlie Datu Mayong, pengerusi-pengerusi JKKK dan ketua-ketua kampung kawasan Tungku.

Rabu, Mei 26, 2010

Majlis Dialog penduduk kampung Zon Tg. Labian dan Pegawai Daerah Lahad Datu, PPHT

Tg. Labian - Majlis Dialog penduduk Kg. kawasan zon Tg. Labian bersama Pegawai Daerah Lahad Datu En. Zulkefle Hj. Nasir dan PPHT telah diadakan di Balai Raya Kg. Tanjung Labian yang turut dihadiri oleh Penolong Pegawai Daerah Kecil Tungku En. Ibrahim Abd Hakim, Ketua Polis Daerah Lahad Datu SUPT. Samsuddin Mat, Pemimpin Kemajuan Rakyat N49 Tungku Datu Baniamin Datu Jamaluddin, Ketua Daerah Tungku En. Abdillah Hamzah dan pemimpin-pemimpin peringkat kampung yang berdekatan.

Dialog ini dianjurkan oleh Ahli Jawatankuasa bertindak bagi zon Tanjung Labian yang dipengerusikan oleh En. Asrafal Hj. Panglima Alian. Turut hadir sama pada majlis tersebut ialah Ketua Anak Negeri Tungku Hj. Abd Malek Hj. Aidala, Pegawai Kemajuan Masyarakat N49 Tungku En. Kamarudin Hj. Hamid dan Pemaju Masyarakat N49 Tungku En. Saleh Kamin Sajiran.

Dialog ini diadakan adalah untuk memberi peluang kepada penduduk kampung di kawasan zon Tanjung Labian bagi mengutarakan masalah yang mereka hadapi selama ini yang berkaitan dengan masalah tanah.

Datu Baniamin yang mewakili YB Datuk Ustaz Mohd Suhaili berkata, penduduk kampung hendaklah menggunakan ruang dialog ini dengan sebaik mungkin bagi menyelesaikan masalah-masalah yang berkaitan dengan permohonan tanah dan sebagainya. Kerjasama semua pihak sangat diperlukan bagi memudahkan pihak seperti Jabatan Tanah dan Ukur membantu penduduk kampung menyelesaikan masalah tanah yang kian berlarutan.

Dalam masa yang sama, penduduk kampung di zon Tanjung Labian juga turut melahirkan sokongan penuh pembinaan Loji Janakuasa Arang Baru di Kg. Sinakut di mana sebelum ini beberapa pihak menyatakan penduduk di kawasan tersebut tidak menyokong pembinaan Loji Janakuasa Arang batu. Mengulas mengenai kenyataan wakil penduduk kampung zon Tanjung Labian, En. Roslan Abd Hamid selaku ketua kampung Lok Buani, penduduk kampung selama ini akan menyokong pembinaan Loji tersebut demi untuk pembangunan keseluruhan kawasan Tungku dan sedia maklum kawasan zon Tanjung Labian belum lagi mendapat bekalan elektrik. Katanya lagi, kami sebagai generasi hari ini tidak mahu mewarisi anak cucu kami dengan masalah bekalan elektrik yang tidak pernah kami kecapi selama ini.

Adalah wajar sebagai pemimpin  akar umbi memperjuangkan dan mempertahankan serta menyokong pembangunan yang dibawa oleh kerajaan. Jadi tidak timbul soal kami menolak apa sahaja pembangunan yang dibawa oleh kerajaan lebih-lebih lagi pembangunan asas yang sangat diperlukan oleh rakyat keseluruhannya, ujarnya lagi.

Sabtu, Mei 22, 2010

YB Mejar (K) Datuk Ustaz Mohd Suhaili Hj. Said menerima kunjungi hormat.

Tungku - YB Datuk Ustaz Mohd Suhaili Ahli Dewan Undangan N49 Tungku menerima kunjungi hormat daripada pegawai-pegawai JASA P188 Silam iaitu En. Mohd Saleh Asah, En. Said Aid dan Cik. Imelda Salbat di Pejabat ADUN N49 Tungku.

Kunjungi ini adalah untuk bertemu  dengan YB Datuk Ustaz Mohd Suhaili selaku Timbalan Ketua Bahagian UMNO Silam dan seterusnya memperkenalkan Penolong Pengarah JASA Silam yang baru iaitu Cik. Imelda Salbat.

Salah satu objektif kunjungi ini adalah untuk mengeratkan hubungan silaturrahim di antara JASA Silam dengan YB ADUN Tungku serta pegawai-pegawai Unit Pemimpin Kemajuan Rakyat N49 Tungku.

Turut hadir pada kunjungi tersebut ialah Pemimpin Kemajuan Rakyat N49 Tungku Datu Baniamin Datu Jamaluddin, Pegawai Kemajuan Masyarakat N49 Tungku Kamarudin Hj. Hamid, Pemaju Masyarakat En. Salleh Kamin Sajiran dan En. Abd Majid Alam sebagai Wakil Ketua Anak Negeri kawasan Tungku.

Ahad, Mei 16, 2010

Pesta Kaamatan menggabungkan pelbagai budaya suku kaum

15hb Mei Tungku, Kg. Manar – Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Kecil Tungku telah diadakan di Kg. Manar, Tungku yang dihadiri oleh ribuan masyarakat di sekitar kawasan Tungku yang dirasmikan oleh YB Mejar (K) Datuk Ustaz Mohd Suhaili Hj. Said Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Tungku .

Pesta Kaamatan kali ini adalah sangat unik kerana dihadiri oleh pelbagai suku kaum yang terdiri dari suku kaum Bajau, Suluk, Idahan, Bugis dan lain-lain. Seramai 3000 masyarakat pelbagai kaum hadir di kawasan Tungku hadir pada majlis tersebut.

Menurut Suhaili, Inilah satu pesta yang menggabungkan pelbagai bangsa termasuk persembahan dari suku kaum utama di Tungku. Ianya harus dikekalkan bagi mengukuhkan perpaduan dan keharmonian yang sememangnya terjalin sekian lama.

Tambahnya lagi, perkara ini haruslah kita lihat dari pelbagai sudut untuk kita bersama-sama menterjemah dan mempertahankan perpaduan yang boleh membawa kepada kekuatan masyarakat yang berbilang kaum di Tungku.

Menurutnya lagi, dengan mengangkat status sambutan Pesta Kaamatan yang diiktiraf sambutannya di peringkat kebangsaan sudah pasti keunikan budaya yang ditonjolkan mampu menjadi tarikan kepada pelancong dari luar untuk menggunjungi negara ini bagi mengisi aktiviti ekonomi dalam sektor perlancongan.

Sesuai dengan tema ‘ Kepelbagaian Budaya Asas Keharmonian ‘ beliau yakin semua suku kaum di kawasan Tungku dan khususnya di negara ini, terus mampu menjulang nama negara di mata dunia.

Suku kaum Dusun Begahak adalah unik kerana budaya suku kaum Begahak adalah satu-satunya suku kaum di Malaysia yang masih mengamalkan adat-istiadat dalam menjalankan kehidupan seharian, walaubagaimanapun amalan ini tidaklah menjadi penghalang kepada masyarakat Dusun Begahak untuk bersama-sama bergading bahu dalam menjalankan pelbagai aktiviti seperti yang kita lihat pada majlis hari ini.

Hari ini kita amat bersyukur, walaupun ada beberapa pihak yang tidak bertanggungjawab melemparkan pelbagai fitnah di blog-blog menyatakan kerajaan hari ini tidak membela rakyat. Tetapi terbukti, kita boleh lihat pelbagai pembangunan yang telah dilaksana dan sedang dilaksana untuk kebaikan rakyat di Tungku keseluruhannya.

Oleh itu, saya sebagai wakil rakyat di Tungku menyeru agar masyarakat di kawasan Tungku tidak menerima dan mudah terpengaruh dengan fitnah-fitnah yang dilemparkan oleh pihak tertentu, kata suhaili lagi.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Penolong Pegawai Daerah Tungku En. Ibrahim Abd Hakim, Pemimpin Kemajuan Rakyat N49 Tungku Datu Baniamin Datu Jamaluddin, Ketua Daerah Tungku En. Abdillah Hamzah, pemimpin-pemimpin masyarakat, ketua-ketua kampung dan Pegerusi-pengerusi JKKK kawasan Tungku.

Pelbagai acara diadakan di Pesta Kaamatan tersebut dengan pertandingan Unduk Gadau, sagundui dan persembahan artis-artis tempatan seperti Kamis Lolaiyangkit, Clarice John Matha dan Penyanyi Dusun Sabah yang berasal dari Tambunan Hamidah Hamzani.

Jumaat, Mei 07, 2010

Lawatan Ketua Menteri Sabah ke POIC Lahad Datu

LAHAD DATU 6 Mei - Kawasan Kelompok Industri Kelapa Sawit (POIC), dekat sini berjaya menarik pelaburan sehingga RM1.8 bilion sejak dibangunkan pada 2005 sehingga kini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman berkata, jumlah tersebut adalah hasil daripada 25 pelabur yang membeli tanah dan membina infrastruktur asas untuk keperluan industri berkenaan.

"Pelaburan ini menunjukkan keyakinan para pelabur terhadap potensi POIC sekali gus membantu usaha kerajaan negeri untuk menjayakan kelompok tersebut di negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pecah tanah POIC Lahad Datu di Pejabat POIC di sini, hari ini.

Katanya, daerah ini menjadi penyumbang utama bagi sektor sawit di Sabah dan negeri ini secara tidak langsung menyumbang 30 peratus kepada pengeluaran minyak sawit negara.

Secara kesuluruhan ujarnya, Sabah mempunyai ladang kelapa sawit seluas kira-kira 1.4 juta hektar dan mempunyai lebih 400 kilang sawit yang kebanyakannya di daerah ini.

Menurutnya, sebagai negeri pengeluar utama komoditi itu, Sabah tidak harus lagi bergantung dengan eksport minyak sawit mentah sahaja tetapi perlu melakukan nilai tambah.

Beliau yang juga Menteri Kewangan Sabah berkata, langkah itu akan mempelbagai hasil sawit, mewujud peluang pekerjaan dan menyunbang pendapatan kepada ekonomi negeri.

Usaha membangunkan sektor itu katanya, mendapat bantuan penuh kerajaan Persekutan iaitu melalui dana sebanyak RM153 juta di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Dalam memajukan industri biomass pula katanya, kerajaan negeri sedang menimbang untuk membina kilang memproses bahan tersebut dan sisa buangan sawit yang lain.

Pada masa sama katanya, biomass atau juga dikenali sebagai tandan kelapa sawit kosong (EFB) boleh dijadikan sumber tenaga untuk menjana bekalan elektrik di negeri ini.

"EVB ini juga boleh dijadikan bahan plastik, baja dan produk nilai tambah lain tetapi sebelum itu, harga bagi bahan tersebut perlu diubah kerana harga sedia ada dilihat tidak mesra.

"Kita mempunyai sumber EVB yang banyak tetapi tidak dapat dimanfaat sepenuhnya disebabkan masalah ini. Ini membuatkan ramai pelabur berada dalam keadaan dilema," ujanya.