Rabu, Mei 26, 2010

Majlis Dialog penduduk kampung Zon Tg. Labian dan Pegawai Daerah Lahad Datu, PPHT

Tg. Labian - Majlis Dialog penduduk Kg. kawasan zon Tg. Labian bersama Pegawai Daerah Lahad Datu En. Zulkefle Hj. Nasir dan PPHT telah diadakan di Balai Raya Kg. Tanjung Labian yang turut dihadiri oleh Penolong Pegawai Daerah Kecil Tungku En. Ibrahim Abd Hakim, Ketua Polis Daerah Lahad Datu SUPT. Samsuddin Mat, Pemimpin Kemajuan Rakyat N49 Tungku Datu Baniamin Datu Jamaluddin, Ketua Daerah Tungku En. Abdillah Hamzah dan pemimpin-pemimpin peringkat kampung yang berdekatan.

Dialog ini dianjurkan oleh Ahli Jawatankuasa bertindak bagi zon Tanjung Labian yang dipengerusikan oleh En. Asrafal Hj. Panglima Alian. Turut hadir sama pada majlis tersebut ialah Ketua Anak Negeri Tungku Hj. Abd Malek Hj. Aidala, Pegawai Kemajuan Masyarakat N49 Tungku En. Kamarudin Hj. Hamid dan Pemaju Masyarakat N49 Tungku En. Saleh Kamin Sajiran.

Dialog ini diadakan adalah untuk memberi peluang kepada penduduk kampung di kawasan zon Tanjung Labian bagi mengutarakan masalah yang mereka hadapi selama ini yang berkaitan dengan masalah tanah.

Datu Baniamin yang mewakili YB Datuk Ustaz Mohd Suhaili berkata, penduduk kampung hendaklah menggunakan ruang dialog ini dengan sebaik mungkin bagi menyelesaikan masalah-masalah yang berkaitan dengan permohonan tanah dan sebagainya. Kerjasama semua pihak sangat diperlukan bagi memudahkan pihak seperti Jabatan Tanah dan Ukur membantu penduduk kampung menyelesaikan masalah tanah yang kian berlarutan.

Dalam masa yang sama, penduduk kampung di zon Tanjung Labian juga turut melahirkan sokongan penuh pembinaan Loji Janakuasa Arang Baru di Kg. Sinakut di mana sebelum ini beberapa pihak menyatakan penduduk di kawasan tersebut tidak menyokong pembinaan Loji Janakuasa Arang batu. Mengulas mengenai kenyataan wakil penduduk kampung zon Tanjung Labian, En. Roslan Abd Hamid selaku ketua kampung Lok Buani, penduduk kampung selama ini akan menyokong pembinaan Loji tersebut demi untuk pembangunan keseluruhan kawasan Tungku dan sedia maklum kawasan zon Tanjung Labian belum lagi mendapat bekalan elektrik. Katanya lagi, kami sebagai generasi hari ini tidak mahu mewarisi anak cucu kami dengan masalah bekalan elektrik yang tidak pernah kami kecapi selama ini.

Adalah wajar sebagai pemimpin  akar umbi memperjuangkan dan mempertahankan serta menyokong pembangunan yang dibawa oleh kerajaan. Jadi tidak timbul soal kami menolak apa sahaja pembangunan yang dibawa oleh kerajaan lebih-lebih lagi pembangunan asas yang sangat diperlukan oleh rakyat keseluruhannya, ujarnya lagi.

0 Hantarkan Komen Anda di sini:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.