Jumaat, Mei 07, 2010

Lawatan Ketua Menteri Sabah ke POIC Lahad Datu

LAHAD DATU 6 Mei - Kawasan Kelompok Industri Kelapa Sawit (POIC), dekat sini berjaya menarik pelaburan sehingga RM1.8 bilion sejak dibangunkan pada 2005 sehingga kini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman berkata, jumlah tersebut adalah hasil daripada 25 pelabur yang membeli tanah dan membina infrastruktur asas untuk keperluan industri berkenaan.

"Pelaburan ini menunjukkan keyakinan para pelabur terhadap potensi POIC sekali gus membantu usaha kerajaan negeri untuk menjayakan kelompok tersebut di negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pecah tanah POIC Lahad Datu di Pejabat POIC di sini, hari ini.

Katanya, daerah ini menjadi penyumbang utama bagi sektor sawit di Sabah dan negeri ini secara tidak langsung menyumbang 30 peratus kepada pengeluaran minyak sawit negara.

Secara kesuluruhan ujarnya, Sabah mempunyai ladang kelapa sawit seluas kira-kira 1.4 juta hektar dan mempunyai lebih 400 kilang sawit yang kebanyakannya di daerah ini.

Menurutnya, sebagai negeri pengeluar utama komoditi itu, Sabah tidak harus lagi bergantung dengan eksport minyak sawit mentah sahaja tetapi perlu melakukan nilai tambah.

Beliau yang juga Menteri Kewangan Sabah berkata, langkah itu akan mempelbagai hasil sawit, mewujud peluang pekerjaan dan menyunbang pendapatan kepada ekonomi negeri.

Usaha membangunkan sektor itu katanya, mendapat bantuan penuh kerajaan Persekutan iaitu melalui dana sebanyak RM153 juta di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Dalam memajukan industri biomass pula katanya, kerajaan negeri sedang menimbang untuk membina kilang memproses bahan tersebut dan sisa buangan sawit yang lain.

Pada masa sama katanya, biomass atau juga dikenali sebagai tandan kelapa sawit kosong (EFB) boleh dijadikan sumber tenaga untuk menjana bekalan elektrik di negeri ini.

"EVB ini juga boleh dijadikan bahan plastik, baja dan produk nilai tambah lain tetapi sebelum itu, harga bagi bahan tersebut perlu diubah kerana harga sedia ada dilihat tidak mesra.

"Kita mempunyai sumber EVB yang banyak tetapi tidak dapat dimanfaat sepenuhnya disebabkan masalah ini. Ini membuatkan ramai pelabur berada dalam keadaan dilema," ujanya.

0 Hantarkan Komen Anda di sini:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.