Rabu, September 08, 2010

Sudah tiba masanya Tungku memiliki balai bomba

Lahad Datu : Perancangan kerajaan untuk mewujudkan balai bomba di setiap kawasan Parlimen memberi kelegaan kepada pemimpin masyarakat di Dewan Undangan Negeri (DUN) N49 Tungku yang memerlukan sebuah balai bomba sejak sekian lama.

Lawatan PKR ke Asrama yang terbakar dekat Tungku
Sebelum ini, wujud kebimbangan di kalangan penduduk di situ kerana ketiadaan balai bomba yang memaksa Jabatan Bomba dan Penyelamat Lahad Datu terletak di Jalan Pintas itu terpaksa menyusuri jalan sejauh lebih 80 kilometer untuk sampai di Tungku sekiranya berlaku kebakaran.

Kebimbangan kian ketara kononnya pernah suatu ketika dahulu sebahagian bangunan Asrama di sekolah dekat Tungku terbakar disebabkan anggota bomba lambat sampai ke tempat kejadian.

Lantaran itu, rancangan kerajaan seperti diumumkan baru-baru ini memberikan sedikit kelegaan lebih-lebih kawasan DUN N49 Tungku itu terletak di dalam Parlimen Silam.

Datu Baniamin Datu Jamaluddin
Pemimpin Kemajuan Rakyat (PKR) Tungku, Datu Baniamin Datu Jamaluddin berharap sebuah balai bomba akan dapat dibina bagi mengatasi masalah sekiranya berlaku sesuatu kebakaran di kawasan berkenaan.

Katanya, kemudahan balai bomba perlu disegerakan sebab manakan pula mengharapkan jentera dari sini untuk pergi ke Tungku sejauh 80 kilometer.

" Kita berharap dengan perancangan pihak kerajaan untuk mewujudkan sebuah balai bomba di setiap kawasan Parlimen akan dapat memasukkan Tungku antara tempat perlu diberi perhatian sebab Tungku benar-benar memerlukan balai bomba, " katanya kepada Utusan Borneo di sini baru-baru ini.

Datu Baniamin memberitahu Tungku bukan lagi seperti dulu tetapi sudah banyak perubahan dari segi pembangunan prasarana dan infraktruktur lebih-lebih lagi dengan kewujudan Taman Perindustrian Hiliran Kelapa Sawit ( POIC ) Lahad Datu dan industri hiliran lain.

Kamarudin Haji Hamid
Sementara itu, Pegawai Kemajuan Masyarakat (CDO) Tungku, Kamarudin Haji Hamid, juga berharap balai bomba dapat diwujudkan bagi mengelak masalah berulang lagi pada masa akan datang.

" Saya berpendapat bahawa Tungku amat memerlukan sebuah balai bomba kerana kepesatan pembangunan yang semakin rancak di kawasan ini manakan pula mengharapkan lagi jentera bomba dari bandar Lahad Datu, " soal beliau.

Beliau berharap perancangan pihak kerajaan itu turut memberi tumpuan kepada DUN N49 Tungku yang juga terletak di bawah Parlimen Silam.

Abdul Hadji Asari
Tiga minggu lepas, akhbar ini turut menyiarkan keluhan Pemaju Mukim Silabukan, Abdul Hadji Asari yang turut mengharapkan supaya pihak kerajaan mempertimbangkan cadangan untuk sebuah balai bomba di kawasan tersebut.

" Sudah tiba masanya untuk kawasan Tungku memiliki balai bomba sendiri sebab pernah berlaku satu kebakaran di sebuah sekolah menengah yang sebahagian besar bangunannya musnah dijilat api kerana pihak bomba lambat sampai. "

0 Hantarkan Komen Anda di sini:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.