Isnin, September 13, 2010

Malaysia menjadi contoh terbaik

MESRA-Suhaili melayan tatamu yang hadir

Tungku : Amalan kunjung-mengunjungi di kalangan rakyat berbilang bangsa dan anutan agama di negara ini menjadi landasan kukuh kepada rakyat jelata untuk mengukuhkan hubungan perpaduan yang sedia wujud.
ADUN N49 Tungku, Datuk Mohd Suhaili Haji Said berkata, amalan murni ini perlu diteruskan kerana ia menjadi penanda aras betapa rakyat di negara ini sayangkan keamanan dan keharmonian yang telah dipupuk setelah sekian lama.

Berikutan itu, ujarnya, sesetengah negara di dunia banyak belajar dan mencontohi cara pemimpin kita dalam mentadbir negara yang terdiri dari pelbagai keturunan.

Tidak banyak negara di dunia seperti Malaysia yang terdiri dari pelbagai keturunan tetapi boleh hidup aman dan damai.

" Sebab itu, negara kita sering menjadi ikutan negara-negara lain kerana bagi mereka negara ini sangat unik bila tibanya sesuatu perayaan maka di situlah nampak keharmonian kaum, " katanya.

Suhaili yang juga Presiden Majlis Hal-Ehwal Anak Negeri Sabah (MHEANS) berkata demikian di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri beliau yang diadakan di kediamannya di Kg. Remang, Jalan Tungku, dekat sini pada hari raya pertama.

Beliau berharap dengan kehadiran Aidilfitri kali ini akan memberi kekuatan kepada umat Islam dalam mengukuhkan perpaduan di kalangan rakyat secara keseluruhannya.

" Selama sebulan menghadapi pelbagai cabaran dan dugaan dalam mengerjakan ibadah Puasa, maka pada hari yang mulia di pagi Aidilfitri ini, saya berharap agar ianya menjadi satu titik untuk kita berubah menjadi makhluk Allah SWT yang sentiasa bertakwa dan beriman kepadaNya.

Dalam masa yang sama, kita juga tidak akan melupakan orang-orang yang tidak dapat bersama-sama meraikan Aidilfitri kerana kemungkinan ada yang berada di perantauan atau sedang terlantar sakit di hospital, maka dengan itu saya berharap marilah kita sama-sama mengeratkan silaturrahim dengan meneruskan tradisi kunjung-mengunjungi di antara satu sama lain, " tambah beliau.

Sementera itu, majlis rumah terbuka beliau diserikan dengan lagu-lagu sekola Hari Raya sambil tetamu yang datang terdiri daripada lapisan masyarakat di kawasan Tungku dan Lahad Datu khususnya menikmati juadah ketupat, lemang dan rendang serta kambing masak kari yang dimasak sendiri oleh beliau.

Sambil bersalam-salaman dengan tetamu lain, mereka yang datang juga tidak lupa untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepda Suhaili serta keluarga beliau.

0 Hantarkan Komen Anda di sini:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.