Ahad, Disember 13, 2009

Lawatan ke Loji Janakuasa Sultan Azlan Shah, Manjong, Perak dan ke Stesen Janakuasa Sultan Salahuddin Abdul Aziz Kapar, Selangor.

                                                                                 
Pada 8hb. Disember. 2009 hingga 11hb. Disember. 2009 rombongan dari Pemimpin-pemimpin Tungku dan Lahad Datu telah mengadakan lawatan ke Loji Janakuasa Sultan Azlan Shah, Manjong Perak dan ke Stesen Janakuasa Sultan Salahuddin Abd Aziz, Kapar Selangor. Rombongan tersebut diketuai oleh YB Datuk Ustaz Mohd Suhaili Hj. Said ADUN N49 Tungku. Rombongan ini disertai oleh pemimpin tempatan Tungku dan Lahad Datu iaitu Penolong Pegawai Daerah Tungku En. Ibrahim Abd Hakim, Penolong Pegawai Daerah ( Pembangunan ) Lahad Datu En. Mat Jaidin Hj Mohd Yassin, Pemimpin Kemajuan Rakyat N49 Tungku Datu Baniamin Datu Jamaluddin, Pegawai Kemajuan Masyarakat N49 Tungku En. Kamarudin Hj. Hamid, Penyelia Kemajuan Masyarakat N49 Tungku En. Abd Majid Alam, Ketua Anak Negeri Tungku En. Abdillah Hamzah, Abd Momen Anghai, Pemaju Mukim En. Abd Kayum Hj Omar, Abd Hadji Asahari, En. Nordin Abd Rajin, Ketua Masyarakat Cina Lahad Datu Leong Kit Wai Pemuda LDP Tungku En. Hawai Kuan, Pengerusi JKKK Kg. Sg. Merah/Sinakut, Ketua Kampung Tanjung Labian Hj. Mahmud Mallang, Ketua Cawangan Umno Kg. Tg. Labian En. Kunsul Nahul, Timbalan Pengerusi JKKR Felda Sahabat 3 En. Bakar Jaafar, Pengerusi JKKK Kg. Nala En. Sabtu Susulan, Imam Rawatib Kg. Sinakut Imam Abd. Mutalib bin Alias dan Abd Naddin Shaiddin seorang wartawan Utusan Borneo.

Tujuan lawatan ini adalah untuk melihat keadaan sebenar Loji Janakuasa tersebut yang menggunakan arang batu, di mana sebelum ini telah menjadi isu hangat di kawasan Tungku dan Lahad Datu. Isu utama yang menjadi perbualan di kalangan NGO-NGO ialah Loji Janakuasa menggunakan Arang Batu boleh menyebabkan pencemaran alam sekitar dan kesihatan penduduk yang berdekatan akan terjejas. Selain daripada itu, ada juga berapa pihak mengambil kesempatan menjadikan isu politik, yang mana menjadikan isu bahawa Loji Janakuasa menggunakan arang batu tidak selamat dan kerajaan tidak memikirkan kesan dan akibat dengan pembinaan Loji Arang Batu tersebut kepada masyarakat yang berhampiran.

Sebagaimana sedia maklum bahawa masalah bekalan elektrik di kawasan Tungku dan Lahad Datu begitu kritikal di mana selalu berlaku Black Out yang menyebabkan gangguan bekalan elektrik yang berpanjangan. Oleh yang demikian, kerajaan pada masa ini telah mengambil satu langkah yang drastik untuk memastikan tiadanya gangguan bekalan elektrik di kawasan Pantai Timur Sabah dengan membina satu Loji Janakuasa Arang Batu di Kg. Sinakut Tungku. Walau bagaimana pun, sebelum pembinaan Loji tersebut, ianya perlukan kelulusan daripada EIA dan Jabatan Alam Sekitar. Pelbagai usaha dan pemantauan akan dan telah dilakukan oleh pihak Jabatan Alam Sekitar dan EIA memastikan bahawa sebelum pembinaan dilaksanakan ianya perlu mendapat kelulusan. Pelbagai aspek dipantau dan diselidiki dengan mengambil kira keselamatan penduduk yang berhampiran seperti alam flora, habitat semula jadi, ekosistem, aktiviti pertanian/ladang dan pelbagai lagi yang mungkin boleh menjejaskan aktiviti-aktiviti yang berkaitan.

Selama 4 hari melawat dan melihat sendiri keadaan di kedua-dua Loji Janakuasa tersebut, keadaan sangat selamat, tiada pencemaran. Kami telah dibawa ke setiap pelusuk Loji Janakuasa Arang Batu tersebut termasuk melihat dari laut dengan menaiki bot. Yang menjadi tumpuan kami pada lawatan tersebut ialah aktiviti perternakan ikan dalam sangkar dan aktiviti perternakan kerang yang hampir dengan Loji tersebut. Kami telah menemui beberapa orang penduduk yang berdekatan dengan Loji tersebut, mereka menyatakan bahawa pembinaan Loji Janakuasa Arang batu di Manjong, telah menaikkan taraf hidup dan ekonomi serta membuka peluang-peluang pekerjaan di Loji tersebut. Loji tersebut telah beroperasi selama 6 tahun. Selama ianya beroperasi, tidak pernah berlaku pencemaran dari Loji tersebut, kerana ianya sentiasa di pantau oleh Jabatan Alam sekitar dan EIA ( Kajian Terperinci Kesan Alam Sekitar ).

Di Stesen Janakuasa Sultan Salahuddin Abd Aziz di Kapar, Selangor, kami telah dibawa ke pusat perternakan kerang yang mempunyai keahlian seramai 65 orang. Pusat perternakan tersebut adalah terlalu hampir dengan Loji tersebut iaitu kira-kira 500 meter sahaja. Kami telah diberi taklimat mengenai perternakan kerang dan seterusnya dihidangkan kerang yang direbus. Kami sungguh terkejut, kerana kerang di sana amat besar dengan diameter di antara 20mm ke 35 mm. Menurut pengerusi Persatuan perternakan kerang di Kapar, aktiviti perternakan kerang ini telah lama dilaksanakan walaupun ianya berdekatan dengan Loji Janakuasa arang batu.

Oleh yang demikian, misi lawatan kami ke Loji Janakuasa Manjong Perak dan Stesen Janakuasa Sultan Salahuddin Abd Aziz di Kapar Selangor amat mustahak bagi menyampaikan maklumat yang benar kepada masyarakat di Tungku mengenai Loji Janakuasa Arang Batu. Kita tidak perlu mendengar dari pihak yang tidak bertanggung jawab menyatakan bahawa Loji Janakuasa Arang Batu tidak selamat dan mencemar, tetapi, kami yang telah lihat dan hadir sendiri ke Loji tersebut. Sebagai masyarakat di kawasan Tungku haruslah menerima dan menyokong pembinaan Loji Janakuasa arang baru di Kg. Sinakut, Tungku demi untuk pembangunan di Tungku. Jangan percaya dengan pelbagai isu yang ditimbulkan, kerana mereka-mereka yang membangkang pembinaan Loji Janakuasa arang batu tersebut tidak pernah melawat dan melihat sendiri keadaan di sana.

0 Hantarkan Komen Anda di sini:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.