Isnin, Ogos 23, 2010

Rakyat Lahad Datu dan Tungku mahu projek Loji janakuasa arang batu diteruskan

Jawatankuasa Bertindak Rakyat
Lahad Datu : Sorakan ' Yes To Power, Coal Power No Problem ' bergemuruh di dalam dewan Tun Datu Mustapha di bandar ini kelmarin apabila 3,000 orang masyarakat pelbagai kaum sebulat surat menyatakan sokongan penuh supaya diteruskan projek loji janakuasa arang batu di Teluk Dent, dekat Sinakut.

Lengkap memakai baju T dengan bertopikan warna jingga, kain-kain rentang dibentangkan sebagai menunjukkan sokongan mereka ke atas projek yang mendapat bantahan hebat pihak pencinta alam sekitar itu.

AJK Bertindak Rakyat membentangkan kain rentang
Antaranya berbunyi ' Jangan Tunduk Pada Tekanan Demi Rakyat ' dan ' Loji Janakuasa Arang Batu Merintis Pembangunan dan Kemajuan'. Perhimpunan rakyat secara besar-besaran bermula jam 8 pagi turut dihadiri golongan pelajar.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Rakyat Menyokong Pembinaan Loji Janakuasa Arang Batu, A. Nagaraju, pula mendapat tepukan ketiga naik ke atas pentas untuk menyampaikan ucapannya sambil kedengaran pekikan ' Nagaraju, anda harapan kami teruskan perjuangan mu'.

Sambil membentangkan kain rentang, mereka yang hadir kebanyakannya penduduk di sekitar Tungku terutama dari Kampung Sinakut bersama-sama Nagaraju melaungkan ' Yes To Power, Coal Power No Problem '.

Hj. Abd Kayum membacakan isi kandungan Memorandum
Sejurus Nagaraju yang juga Pengerusi Persatuan Pengguna Lahad Datu selesai menyampaikan ucapannya, Pemaju Mukim Tungku iaitu Haji Abdul Kayum Haji Omar mengambil tempat untuk membacakan butiran memorandum sebelum diserahkan kepada beberapa orang wakil rakyat melalui satu perarakan kecil yang turut dikawal anggota polis.

Memorandum telah diserahkan selepas Jawatankuasa Bertindak Rakyat mengadakan satu perarakan kecil sejauh kira-kira 500 meter bermula dari Dewan Tun Datu Mustapha sehingga ke bangunan Plaza USIA.

A.Nagaraju mengetuai perarakan Jawatankuasa Betindak
Perarakan diketuai oleh Nagaraju itu turut dimeriahkan dengan lagu-lagu semangat yang dinyanyikan kira-kira 50 orang yang berarak sambil membawa kain rentang.

Menunggu di Plaza USIA ialah Anggota Dewan Undangan Negeri ADUN kawasan Tungku, Datuk Ustaz Mohd Suhaili Haji Said, Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Sabah, Datin Maizatul Akmam Hj. Alawi dan Pegawai Kemajuan Masyarakat ( CDO ) N50 Lahad Datu, En. Amat Kawoh.

A.Nagaraju menyerahkan Memorandum kepada Amat
Nagaraju kemudian menyerahkan memorandum berkenaan kepada Amat sebagai mewakili Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri yang juga ADUN N50 Lahad Datu, Datuk Haji Datu Nasrun Haji Datu Mansor dan beberapa ahli jawatankuasa Bertindak Rakyat yang turut menyerahkan memorandum ini kepada Suhaili serta Maizatul.

Difahamkan, memorandum satu muka surat itu akan diserahkan kepada Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Kementerian Sains dan Teknologi da Speaker Dewan Rakyat sebagai menyatakan sokongan rakyat Lahad Datu dan Tungku betapa perlunya pembinaan projek loji janakuasa arang batu diteruskan demi memberi bekalan tenaga yang stabil di Pantai Timur Sabah.

Jawatankuasa Bertindak Rakyat akan menyerahkan memorandum berkenaan kepada Tuan Yang Terutama ( TYT ) Dipertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima Haji Ahmadshah bin Abdullah sebaik saja selesai penyerahan memorandum kepada pihak berkenaan.

Suhaili dan Maizatul menunjukkan Memorandum
Sementera itu, dalam sidang akhbar selepas penyerahan memorandum berkenaan, Suhaili berkata pembinaan loji janakuasa arang batu di Teluk Dent dekat Sinakut perlu memandangkan sudah tiba masanya bagi Lahad Datu dan Tungku mengorak langkah ke hadapan.

Beliau berkata, apabila projek berkenaan menjadi kenyataan maka sudah tentu daerah yang mendapat jolokan ' Bandar Palma ' ini akan pesat membangun.

Seperti kita tahu kerancakan projek mega Taman Perindustrian Hiliran Kelapa Sawit ( POIC ) Lahad Datu selain industri hiliran lain yang berkembang pesat terutamannya di kawasan Tungku ini.

Kehadiran masyarakat Tungku dan Lahad Datu diluar jangkaan
" Jadi, kalau sekiranya projek ini tidak dapat diteruskan maka saya percaya mungkin pembangunan infrastruktur melibatkan POIC tidak dapat berjalan lancar. Ini kerana, kita memerlukan janakuasa induk yang boleh menampung segala bentuk pembangunan apatah lagi banyak pembangunan sedang dirangka sekarang ini, " katanya.

Suhaili menegaskan, Pantai Timur Sabah memerlukan sebuah janakuasa induk seperti arang batu yang dicadangkan di Teluk Dent yang bukan saja membawa manfaat kepada penduduk setempat, tetapi juga Sandakan, Kunak, Semporna dan Tawau.

Justeru, Suhaili meminta penduduk daerah ini khususnya di Kampung  Sinakut supaya tidak perlu merasa bimbang apabila projek menjadi kenyataan kelak.

0 Hantarkan Komen Anda di sini:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.