Jumaat, Ogos 20, 2010

POIC Lahad Datu ubah ekonomi Sabah

Lahad Datu : Anggota Dewan Undangan Negeri ( ADUN ) Tungku, Datuk Mohd Suhaili Hj. Said menyambut baik kenyataan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Tan Sri Bernard Dompok bahawa kerajaan pusat kini memberi perhatian kepada Sabah dan Sarawak untuk dibangunkan sebagai hab industri minyak sawit negara.


Bercakap kepada Utusan Borneo semasa dihubungi di sini kelmarin, beliau percaya apabila Kluster Industri Minyak Sawit ( POIC ) Lahad Datu siap sepenuhnya ia akan menjadi penyumbang utama ekonomi negeri selari perancangan Koridor Pembangunan Sabah ( SDC ).


Malah, katanya, POIC Lahad Datu juga akan menawarkan peluang-peluang pekerjaan kepada penduduk setempat sekali gus menghalang mereka dari berhijrah ke tempat lain atas alasan sukar mendapatkan pekerjaan.

" Apabila beroprasi sepenuhnya kelak, POIC Lahad Datu dijangka akan menampung pemprosesan minyak sawit tempatan, selain juga mendapatkan sumber bahan dari Kalimantan, Indonesia dan selatan Filipina."

Kita akan menyaksikan kerancakan ekonomi memandangkan pemasaran yang lebih efisien dan berdaya saing sebab dari segi perdagangan pun sudah wujud kerjasama dalam usaha memperluaskan pasaran, " jelasnya.

Sehubungan dengan itu, beliau sebagai Adun Tungku berbangga kerana POIC Lahad Datu bukan sahaja terletak di kawasan berkenaan bahkan turut membawa perubahan besar kepada bandar Palma.

Beliau yakin bandar ini akan muncul sebagai salah sebuah daerah pesat membangun berikutan kewujudan POIC yang pembangunannya kini berjalan lancar.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Bernard di muka hadapan akhbar ini pada Jumaat lepas yang berkata POIC Lahad Datu serta Bintulu dan Tanjung Manis di Sarawak akan dimajukan dan dipromosikan dengan industri berkaitan minyak sawit.

Katanya, ini kerana kerajaan menyedari kepentingan industri minyak sawit kepada pembangunan ekonomi negara.

Menurut Bernard, sejumlah RM150 juta telah disediakan Kerajaan Persekutuan tahun lalu untuk pembangunan infrastruktur POIC Lahad Datu dan pembangunannya kini berjalan lancar.

Beliau berkata, apabila beroperasi sepenuhnya kelak, POIC Lahad Datu diharap bukan saja menampung minyak sawit tempatan, tetapi juga mendapatkan sumber bahan mentah dari negara jiran.

" Apabila ia sudah dipopularkan sebagai hab, kita boleh memasarkan kelapa sawit dari Sabah, Sarawak dan barangkali juga Johor, terus ke pasaran dunia, sekali gus membantu menyelaraskan perbezaan harga komoditi ini di antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak," kata Bernard dipetik sebagai berkata dalam sesi temuramah eksklutif bersama Utusan Borneo, The Borneo Post dan Oriental Daily News di pejabatnya di Putrajaya, Kuala Lumpur minggu lepas.

" Ini sebenarnya matlamat kerajaan Barisan Nasional ( BN ) yang mahu memberi lebih banyak pembangunan dengan fokus utama membangunkan industri berkaitan sektor berasaskan  pertanian dan perikanan melibatkan kawasan luar bandar di negeri ini ".

" Apabila siap sepenuhnya POIC Lahad Datu itu, ia bukan sahaja menjana ekonomi malahan menampung keperluan golongan yang memerlukan pekerjaan tanpa perlu pergi jauh semata-mata untuk mencari kerja, " kata Suhaili."

Sementera itu, Suhaili berkata rancangan untuk membina projek Loji Janakuasa Arang Batu yang dicadangkan di Teluk Dent dekat Sinakut turut menjana ekonomi daerah ini.

0 Hantarkan Komen Anda di sini:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.