Jumaat, Februari 26, 2010

Profile Daerah Tungku

Keluasan Daerah Tungku berdasarkan gazet ialah 4,144 kilometer persegi ( 1600 batu persegi ) merangkumi sebahagian kawasan segama, keseluruhan kawasan Dam, keseluruhan kawasan Silabukan, keseluruhan kawasan Bakapit, mukim Tungku, Mukim Tambisan hingga ke kuala Meruap dan sebahagian daripada mukim Temanggong. Jumlah penduduknya ialah 77,000.00 orang terdiri dari suku kaum Bajau, Dusun Begahak, Idahan dan Iranun, suluk dan lain-lain.

Sempadan Daerah asal diwartakan pada 1 Jun 2007. Pengwujudan Daerah Kecil Tungku ini diluluskan oleh Kabinet pada Mac 2009. Berhadapan Laut Celebes. Topografi berbukit bukau dengan Begahak Range mencapai ketinggian 760 meter dan tanah-tanah rendah hingga ke semenanjung Dent.

Tungku adalah salah satu daerah di pantai Timur Sabah yang terkenal dengan hasil pengeluaran minyak sawit dan agar-agar ( Rumpai Laut ). Ekonomi di Tungku adalah berasaskan pertanian, perikanan dan perkilangan ( Crode Palm Oil ). Ini adalah kerana Felda berada di dalam ADUN N49 Tungku dan ianya di antara Felda yang terbesar di Malaysia. Selain itu penanaman agar-agar juga dilaksanakan di daerah Tungku.Tungku menyumbang 90 % pengeluaran hasil agar-agar di Daerah Lahad Datu dan kedua tertinggi di pantai timur Sabah.

Dalam proses pembangunan Daerah Tungku, YB Datuk Ustaz Mohd Suhaili banyak membantu dan membawa perubahan besar di mana pelbagai pembangunan dirancang yang telah dan sedang dilaksanakan. Oleh yang demikian, Tungku adalah salah satu daerah yang mengikut arus pembangunan negara.


SEJARAH

Asal perkataan Tungku adalah diambil dari bahasa Begahak ( Dusun ) yang berbunyi “ TUNKU ” yang membawa makna “ PEDULI APA ” kononnya maka tersebutlah kisah sekumpulan anak-anak muda suku kaum Begahak ( Dusun ) yang sedang menangkap ikan dan berkhemah di muara sungai ( yang disebut Sungai Tungku sekarang ) telah didatangi oleh sepasukan orang-orang Inggeris yang sedang membuat pengambaran dan pemetaan yang kemudiannya berjumpa dan bertanya dalam bahasa Inggeris kepada anak-anak muda tersebut “ apakah nama tempat ini ” ? pertanyaan mereka telah tidak dijawab walaupun berulang-ulang kali ditanya.

Namun pertanyaan terus diajukan, maka salah seorang dari anak-anak muda itu pun menjawab dengan perkataan “ TUNKU ”. Apabila saja didengar oleh orang-orang Inggeris perkataan tersebut, dan mulai dari saat itu tempat ini dikenali sebagai Sungai Tungku manakala Pekan Tungku mengambil sempena nama Sungai Tungku.

Masa berlalu, keadaan berubah, keadaan di Mukim Tungku juga turut merasai dan mengikut arus pembangunan negara seperti yang dialami oleh daerah-daerah lain di Sabah.

PERHUBUNGAN

Pada tahun awal 1930-an di zaman pemerintahan British ( North Borneo ) perhubungan utama di Tungku adalah menggunakan perahu. Orang-orang di Tungku menggunakan perahu untuk mengangkat kayu-kayu bakau dan nipah untuk dijual ke pekan Lahad Datu. Nadi perhubungan menggunakan perahu ini berlanjutan sehingga ke tahuan 70-an di mana orang-orang Tungku masih menggunakan jalan laut untuk membawa hasil pertanian ke pekan Lahad Datu. Alternatif orang-orang Tungku pada masa itu adalah dengan menggunakan kapal laut yang dibuat daripada kayu jenis yang keras.

Inilah pengangkutan yang sering digunakan oleh orang-orang Tungku bagi membawa keluar hasil pertanian yang membeli alat-alat keperluan harian di pekan Lahad Datu pada masa itu.

Menjelang tahun 80-an semasa pemerintahan Berjaya yang diterajui oleh Datuk Harris Salleh telah membina jalan Gravel yang menghubungkan di antara Tungku dan Lahad Datu. Dengan terbinanya jalan gravel ini, maka aktiviti-aktiviti perniagaan dan pertanian berjalan dengan baik dan meningkatkan  ekonomi orang-orang Tungku. Hanya pembinaan jalan gravel tersebut, maka ianya telah memberi kemudahan orang-orang Tungku untuk ke pekan Lahad Datu dan berurusan di pejabat-pejabat kerajaan dan ini sudah tentu menjimatkan masa perjalanan yang sebelum ini mengambil masa 6 hingga 7 jam untuk sampai ke pekan Lahad Datu dengan menaiki kapal laut.

Pada tahun 1992, jalan raya dari bandar Lahad Datu ke Tungku telah dinaik taraf ke jalan aspal ( Primix ) dan ianya telah memberi impak yang sangat besar kepada pertumbuhan ekonomi orang-orang Tungku. Peruntukan pembinaan menaik taraf jalan raya ini telah disalurkan oleh kerajaan persekutuan walaupun pada masa itu kerajaan negeri diperintah oleh Parti Bersatu Sabah ( PBS ) yang diterajui oleh Datuk Seri Pairin Kitingan. Sehingga hari ini semua kampung di seluruh daerah Kecil Tungku dapat dihubungi melalui jalan darat.


PEMBANGUNAN


Tungku adalah sebuah daerah yang maju dan bertambah pesat dengan pelbagai pembangunan dan infrastruktur yang telah dilaksanakan oleh kerajaan negeri dan kerajaan Pusat. Di antara pembangunan dan kemudahan yang telah dilaksana dan telah siap ialah, Pejabat Urusetia Daerah Kecil Tungku RM 1.7 juta, bekalan air Tungku yang akan dinaik taraf RM 30 juta, pekan baru Tungku, Klinik Kesihatan Tungku, Kolej Komuniti di Bandar Cenderawasih, perumahan Sri Gemilang, Balai Polis Felda Sahabat dan Program Perumahan Rakyat ( PPR ) .

Salah satu projek yang akan dilaksanakan jika mendapat kelulusan daripada EIA dan Jabatan Alam Sekitar ialah Projek Loji Janakuasa Arang Batu di Kg. Sinakut/ Felda Sahabat. Adalah menjadi harapan penduduk di kawasan Tungku agar pembinaan Loji tersebut akan terlaksana kerana masalah bekalan elektrik di kawasan Tungku dan Lahad Datu berada di tahap yang kurang memuaskan.

Kerajaan Negeri mengumumkan peruntukan sebanyak RM 10 juta untuk menaiktaraf jalan ke jalan Aspal ( Primix ) di Tambisan, di mana kos dibiayai dan agensi pelaksana projek infrastruktur tersebut ialah Felda. Sedia maklum Tambisan adalah syurga kepada pemancing-pemancing yang berminat untuk datang memancing di Tambisan. Ini merupakan satu pelaburan yang amat baik kepada penduduk yang tinggal di kawasan Tambisan. Dengan kehadiran pemancing-pemancing dari seluruh daerah di Sabah, maka ianya akan memberi ruang kepada penduduk kampung menyewakan bot dan pelbagai kemudahan seperti jeti, peti ais dan sebagainya. Secara umumnya, ianya akan meningkatkan taraf hidup penduduk di kawasan Tambisan.

Dalam konteks pembangunan pada masa ini, adalah perlu kerajaan memberi ruang dan kemudahan-kemudahan asas untuk penduduk di kawasan Tungku bagi merealisasikan matlamat dan sasaran kerajaan dalam membasmi kemiskinan. Salah satu contoh kemudahan tersebut ialah projek peningkatan pendapatan ekonomi setempat yang telah mengambil peserta dari kalangan penduduk miskin tegar di kawasan Tungku dan akan di tempatkan di Projek MESEJ Kg. Nala ( Projek Mini Estet Sejehtera ) seluas 200 ekar. Aktiviti peserta projek ini adalah memelihara ikan Baulu dalam kolam dan penanaman rumpai laut ( agar-agar ). Para peserta projek ini akan dibekalkan peralatan dan pelbagai kemudahan termasuk rumah secara percuma dengan pelbagai kemudahan asas seperti sekolah tadika, bekalan elektrik dan kemudahan bekalan air bersih Seramai 50 peserta untuk pengambilan pertama akan ditempatkan dan seterusnya mengusahakannya bagi meningkatkan taraf hidup..

Satu lagi projek bagi pembasmian kemiskinan di kawasan Tungku adalah di Tambisan. Projek tersebut ialah projek ternakan ikan dalam sangkar di peruntukan oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar yang bernilai RM348,248.00 di mana seramai 30 orang peserta di kawasan Tambisan mendapat manfaatnya.

Dengan kemudahan dan infrastruktur yang disalurkan oleh kerajaan melalui agensi-agensi pelaksana yang telah dilantik, maka ianya akan membawa Daerah Tungku ke satu tahap daerah penyumbang peningkatan ekonomi rakyat dan perolehan negeri Sabah keseluruhannya.


PELANCONGAN

Daerah Tungku yang dikenali sebagai titik paling Timur di Malaysia ( TRPT ) adalah salah satu daerah di Sabah yang berpotensi dalam sektor perlancongan. Di antara pusat pelancongan yang terkenal di daerah Tungku ialah Pusat Hidupan Liar Tabin. Tabin merupakan salah satu pusat perlancongan yang terkenal di Malaysia yang menyimpan pelbagai khazanah alam semula jadi yang tidak pernah terusik dengan arus pembangunan negara. Pelbagai hidupan liar yang boleh didapati dan dilihat di Tabin. Tidak hairanlah pelancong-pelancong dari luar negara datang dan membuat pelbagai kajian mengenai keunikan Tabin dan sudah tentu ianya akan memberi publisiti yang meluas di seluruh dunia.

Tanjung Atiam yang terkenal dengan gelaran ‘ Titik Rujukan Paling Timur di Malaysia ’ berpotensi untuk dijadikan pusat perlancongan di daerah Tungku. Titik Rujukan Paling Timur di Malaysia ini telah diwartakan pada 15 september 2004 oleh JUPEM. Titik rujukan ini digunakan sebagai stesen menentukan kedudukan Anak Bulan dan Takwim Hijri Malaysia. Tanjung Atiam berada di kawasan Mukim Tambisan yang terletak berhampiran pantai Dent Heavent, Kg. Tagupi, Tungku.

Selain itu, Daerah Tungku terkenal dengan keindahan pantai yang menghadap laut celebes dan bersempadan dengan negara Filifina. Di antara pantai yang terdapat di Daerah Tungku ialah Pantai Tanjung Labian, pantai Makuao, Pantai Dengan, Tungku, pantai Kahapan, pantai Telisai , pantai Dent Heaven dan pantai Felda Sahabat 16.

Terdapat beberapa penginapan yang menawarkan harga sewaan yang berpatutan seperti Felda Residence Sahabat, resort Hj. Sikab di Kg. Dengan dan di Pusat Hidupan Liar Tabin. Bagi yang mereka selalu mengadakan aktiviti-aktiviti perkhemahan dan riadah, tempat ini adalah yang sesuai.


PENUTUP

Dengan usaha kerajaan pada hari ini membantu menjadikan Daerah Tungku sebagai Daerah yang terkenal di seluruh Malaysia, maka ianya akan dapat meningkatkan taraf hidup rakyat seiring dengan arus pembangunan negara. Oleh yang demikian, rakyat harus membuka mata dan melihat segala pembangunan di kawasan Tungku ini memberi manfaat sepenuhnya dan ini akan menjadikan serta melahirkan satu suasana yang aman, sejahtera dan sentosa. Bertepatan dengan slogan 1 Malaysia ‘ Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan ’, maka sebagai rakyat Malaysia yang berada di Daerah Tungku harus berubah dengan tekad bagi merealisaskan sasaran dan matlamat kerajaan.

0 Hantarkan Komen Anda di sini:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.