Jumaat, Januari 01, 2010

700 setinggan dapat rumah

Lahad Datu : Kira-kira 700 ketua keluarga setinggan yang bertaburan di beberapa kawasan sekitar daerah ini dan tidak pernah menikmati kehidupan di rumah sempurna, bakal memiliki kediaman sendiri melalui Program Perumahan Rakyat ( PPR ). Mereka diberi peluang menghuni rumah pangsa empat tingkat di Pangsapuri Mutiara Kasih ( PMK ) di Tungku, dekat sini, bagi memastikan masalah setinggan yang membebankan kerajaan negeri berupaya diatasi menjelang 2011.

Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN ) kawasan Tungku, Datuk Mohd Suhaili Said, berkata kebanyakan setinggan di daerah itu adalah di Kampung Puyut, Sabah Baru, Unta, Burung dan Wawasan. Beliau berkata kerajaan negeri dan persekutuan yang memandang serius masalah setinggan, sentiasa berusaha membasminya menerusi kaedah penyediaan skim penempatan lebih tersusun yang dilengkapi pelbagai kemudahan asas.

Kerajaan negeri bekerjasama dengan Syarikat Perumahan Negara Berhad ( SPNB ) bagi membina 8 blok rumah pangsa yang setiap satunya setinggi empat tingkat. Sebanyak 700 unit rumah berjaya disediakan selepas kerja pembinaan dimulakan kira-kira dua tahun lalu. Ada tiga kawasan Dewan Undangan Negeri ( DUN ) di bawah Perlimen Silam, iaitu Tungku, Lahad Datu dan Kunak.

Seramai 100 setinggan dari setiap kawasan itu akan ditempatkan di rumah pangsa berkenaan, katanya kepada Berita Harian di sini, semalam. Suhaili berkata, masyarakat setinggan harus bersyukur kerana diberi peluang menikmati kehidupan lebih selesa berdasarkan komitmen Kerajaan Barisan Nasional ( BN ) memberikan perkhidmatan terbaik bagi membela nasib rakyat.

Sementara itu, tinjauan Berita Harian di PMK mendapati, jalan berturap yang menghubungkannya dengan jalan utama Lahad Datu - Tungku dan jalan menghubungkan antara blok sudah siap sepenuhnya. Pegawai Pembangunan Masyarakat ( CDO ) Tungku, Kamarudin Hamid, berkata setakat ini, seramai 200 setinggan sudah ditemuduga dan akan ditingkatkan melalui temuduga selanjutnya.

Mereka berpeluang menyewa rumah ini dengan kadar RM140 sebulan. Dengan kadar bayaran serendah itu, mereka menikmati kemudahan tempat tinggal tiga bilik dan dua bilik mandi. "Selain itu, mereka juga diberi kemudahan surau dan dewan orang ramai. Kami akan memastikan hanya setinggan yang diberikan hak menyewa rumah berkenaan " katanya. Untuk tujuan itu, Unit Pemimpin Kemajuan Rakyat ( UPKR ) Tungku akan bekerjasama rapat dengan Pejabat Daerah Kecil Tungku.

Sumber : Berita Harian 31hb. Disember. 2009

0 Hantarkan Komen Anda di sini:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.