Rabu, Januari 27, 2010

Majlis Dialog penduduk Kg. Teburi bersama Felcra Berhad dan Pegawai Daerah Lahad Datu.

Tungku – Atas daya usaha ketua kampung Teburi En. Amir bin Tuong mengadakan majlis dialog bersama Felcra Berhad yang turut dihadiri oleh Pegawai Daerah Lahad Datu En. Hj. Zulkefle Nasir bagi membincangkan pembangunan tanah Rejab Kampung di Teburi untuk penanaman Kelapa Sawit bagi membantu meningkatkan taraf hidup masyarakat di Kampung Teburi.

Majlis ini bermula pada jam dua petang di mana diadakan di perkarangan rumah En. Patisin Pg. Gudang. Dimulakan dengan persembahan tarian Bilok oleh Ketua Kampung Ulu Teburi En. Amir Tuong. Turut hadir pada majlis tersebut ialah Ketua Daerah Lahad Datu En. Sulaiman Atok, Pegawai Kemajuan Masyarakat N49 Tungku En. Kamarudin Hj. Hamid mewakili YB Datuk Ustaz Mohd Suhaili, Wakil MHEANS Tungku En. Jadi Kandawi, Pengurus Felcra Kawasan Lahad Datu En. Ramli Mat dan Ketua Kampung Kuala Teburi En. Sat Som.

Majlis ini diadakan bagi memberi peluang kepada penduduk kampung untuk berdialog dengan Pegawai Daerah dan Pengurus Felcra Kawasan Lahad Datu. Dialog ini adalah membincangkan mengenai pembangunan tanah rejab kampung Teburi untuk dibangunkan oleh Felcra Berhad bagi penanaman Kelapa Sawit.

Menurut Ketua Kampung Ulu Teburi En. Amir bin Tuong, penduduk kampung hendaklah menunjukkan sokongan kepada kerajaan yang bersedia membantu penduduk kampung mengusahakan tanah mereka bagi meningkatkan taraf hidup. Tingkatkanlah perpaduan dan keharmonian di kalangan penduduk dan jauhkan perasaan hasad dengki, kerana jika kita tidak bersatu padu maka pembangunan di kawasan kampung tidak akan terlaksana atau kampung akan jauh ketinggalan daripada arus pembangunan negara. Tanah yang terlibat untuk pembangunan penanaman Kelapa Sawit di Teburi ialah seluas 520 ekar.

En. Zulkefle berharap agar ketua kampung dan penduduk kampung di kawasan Teburi dapat memberi kerjasama dengan pihak Pejabat Daerah dan Felcra Berhad bagi melicinkan dan melancarkan proses pembangunan tanah rejab dan ianya memberi manfaat khususnya kepada penduduk kampung Kuala Teburi dan Ulu Teburi.

0 Hantarkan Komen Anda di sini:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.