Isnin, Januari 02, 2012

Majlis penghargaan Ahli Jawatankuasa Kemas DUN Tungku

Datuk Hj. Suhaili Hj Said
Anjung teduh : Satu Majlis penghargaan kepada semua Ahli Jawatankuasa Kemas Dun Tungku yang dianjurkan pejabat Kemas Parlimen Silam yang telah disempurnakan oleh YB Datuk Haji Ustaz Mohd Suhaili Haji Said Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN ) kawasan Tungku merangkap Ahli Lembaga Pengarah Felda baru-baru ini.

Majlis tersebut telah diadakan di Dewan Serbaguna Tabika Kemas Anjung Teduh yang dihadiri oleh guru-guru Kemas dan pengerusi-pengerusi Tabika DUN Tungku dan julung-julung kali diadakan di Parlimen Silam.

Suhaili dalam ucapannya berkata, dengan adanya majlis sebegini akan memberi semangat kepada semua ahli jawatankuasa di setiap Tabika Kemas di kawasan Tungku dengan menunjukkan komitmen tinggi terhadap tugas mengendalikan urus tadbir Tabika.

Tambahnya lagi, dengan pendidikan awal kanak-kanak di Tabika adalah asas kepada pembentukan sahsiah diri kanak-kanak tersebut bagi memberi pendedahan awal kepada anak-anak kepada persekolahan peringkat rendah dan seterusnya ke sekolah menengah.

TAHNIAH... Suhaili menyampaikan sijil penghargaan kepada salah seorang Pengerusi Tabika di DUN Tungku
Suhaili juga menyeru kepada semua pengerusi-pengerusi Tabika di kawasan DUN Tungku agar selalu memberi dorongan kepada ibubapa kanak-kanak Tabika untuk bekerjasama dalam merealiasasikan pendidikan yang seiring dengan perkembangan pendidikan Negara pada hari ini.

Antara pengerusi-pengerusi Tabika yang hadir pada majlis tersebut
Ujarnya lagi, Peranan KEMAS juga amat luas termasuklah menganjurkan aktiviti-aktiviti sosial dan membantu dalam menguruskan pemindahan mangsa-mangsa banjir di kawasan masing-masing. Oleh itu, kemas juga tidak hanya tertumpu kepada pendidikan semata-mata.

Terdahulu pengerusi penganjur majlis selaku pengerusi Tabika Kemas Anjung Teduh, En. Hussin Hasan berkata, dengan adanya majlis penghargaan kepada ahli jawatankuasa Tabika akan memberi dorongan dan iltizam kepada pengerusi-pengerusi Tabika meningkatkan kualiti perkhidmatan dan pengurusan yang baik di setiap Tabika Kemas di kawasan Parlimen Silam ini.

Sebagai pengerusi Tabika kita hendaklah memberi sokongan dan kerjasama kepada setiap pemaju masyarakat di sesebuah Tabika. Kerana tanpa kerjasama yang erat di antara kedua-dua pihak, maka Tabika tidak akan dapat diuruskan dengan baik, kata Hussin lagi.

“ Kami amat mengalu-alukan apa sahaja cadangan daripada pihak kerajaan demi untuk penambahbaikan sistem pendidikan di peringkat pendidikan awal kanak-kanak termasuklah menambah kemudahan kepada sekolah-sekolah Kemas untuk manfaat anak-anak yang belajar di setiap sekolah Tabika Kemas ” ujarnya lagi.

Turut hadir Ketua Daerah Tungku, Abdillah Hamzah, Pengawai Kemajuan Masyarakat Tungku En. Kamarudin Haji Hamid, Ketua Anak Negeri kawasan Tungku Haji Abd Malik Haji Aidala, Datu Ramlie Datu Mayong dan En. Mukmin Haji Anghai.

0 Hantarkan Komen Anda di sini:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.