Jumaat, Mei 27, 2011

Rakyat Sabah berpeluang nikmati keuntungan Felda

Tungku : Sebanyak 150 unit perumahan masyarakat setempat akan diberikan kepada penduduk kawasan Tungku yang layak melalui peruntukan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan ( Felda ).

KENANGAN... Isa ( dua kiri ) bergambar kenangan di hadapan tapak rumah contoh PPRT Sri Darun, Tungku
Penduduk kawasan Tungku kini mampu tersenyum lebar kerana Felda memilih kawasan itu untuk menjalankan Projek Perumahan Masyarakat Setempat ( PPMS ) dan Program Pembaikan Rumah Termiskin ( PPRT ).

Isa Samad
Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad berkata, para penerima bantuan ini bukan terdiri daripada peneroka Felda tetapi rakyat Sabah yang akan dipilih oleh kerajaan negeri menerusi Program e-Kasih.

Beliau berkata demikian ketika melawat ke tapak projek PPMS di Kampung Nala, Tungku yang kini dalam peringkat akhir pembinaan.

Program ini terdiri daripada dua bentuk iaitu baik pulih rumah daif dan program khas pembinaan PPMS.

Menurutnya, peruntukan daripada Felda ini diberikan kerana kesefahaman dan kerjasama yang begitu baik antara kerajaan negeri dan Felda, juga sebagai membalas jasa kerajaan negeri yang telah memberi tanah luas kepada Lembaga Persekutuan ( Felda ).

Inilah Projek MESEJ Kampung Nala yang menyediakan pelbagai kemudahan
Projek yang menelan belanja 21 juta itu berkeluasan 18 ekar dan melibatkan sebanyak 150 unit rumah di mana setiap rumah dilengkapi dengan tiga bilik. PPMS ini juga dilengkapi dengan kemudahan lain seperti masjid, klinik, dewan dan tabika.

Suhaili
Sementara itu, Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Tungku, Datuk Ustaz Mohd Suhaili berkata program ini dapat menjadikan Felda sebagai sebuah contoh komuniti yang mengamalkan Program 1Malaysia tanpa mengira kaum, etnik dan agama.

" Dengan wujudnya Felda Sahabat ini, penduduk di kawasan Tungku ini dapat menikmati kemudahan infrastruktur seperti jalan berturap dan kemudahan-kemudahan lain, " katanya.

Peruntukan daripada Felda ini adalah 30 peratus daripada keuntungan yang digunakan untuk kebaikan masyarakat Felda sendiri terutamanya bagi membantu golongan kurang upaya.

REPLIKA BANTUAN... Suhaili ( dua kiri ) menerima replika bantuan daripada pihak Felda yang disampaikan oleh Tan Sri Isa Samad ( tiga kanan )
Turut hadir ke tapak projek ialah Ketua Pegawai Eksekutif Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd ( FGVH ), Datu'Sabri Ahmad, Ketua Unit Selia Felda, Dr, Omar Salim, Pengarah Felda Sabah, Haji Juany Haji Salleh, Penolong Pengawai Daerah Tungku En. Ibrahim Haji Abd Hakim, Penolong Pegawai Daerah Lahad Datu En. Juraimin Haji Jadil dan Pemimpin Kemajuan Rakyat N49 Tungku Datu Baniamin Datu Jamaluddin.

0 Hantarkan Komen Anda di sini:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.