Sabtu, Julai 24, 2010

Sediakan penempatan penduduk sebelum bina loji arang batu.

Tungku- Anggota Dewan Undangan Negeri Tungku, Datuk Ustaz Mohd Suhaili Hj. Said menegaskan kerajaan negeri perlu memastikan kebajikan rakyat tidak terabai sekiranya cadangan pembinaan projek loji janakuasa arang batu di Felda Sahabat/Kg. Sinakut, dekat sini akhirnya menjadi kenyataan.

Beliau berkata perkara pokok perlu ditangani segera adalah penyediaan penempatan bagi membolehkan penduduk berhampiran dengan projek tersebut dapat dipindahkan ke kawasan lebih sesuai sekiranya ada cadangan memindahkan penduduk setempat.

" Kita tidak mahu loji janakuasa arang batu sudah dibina, tetapi baru fikir penempatan untuk penduduk setempat. Kita mahu sediakan dulu penempatan dan barulah rancang sesuatu projek kerana apa-apa pun perancangan kebajikan rakyat hendaklah diutamakan ", katanya kepada utusan borneo selepas menyempurnakan perasmian Majlis Anugerah Kecemerlangan SMK Silabukan kali ke 19 di dewan Plasma MPOB.

Ditanya pendapatnya berhubung bantahan sesetengah pihak mengenai cadangan projek itu, suhaili berkata sesiapa pun bebas bersuara, tetapi pada pandangannya pembinaan arang batu amat penting untuk ekonomi negeri ini.

Rombongan ke Loji Arang Batu Manjong Perak
Katanya, ketika mereka mengikuti lawatan ke loji janakuasa arang batu di beberapa kilang di semenanjung Malaysia dan Sarawak, mereka telah didedahkan dengan banyak perkara mengenai penggunaan arang batu yang tidak akan mencemerkan alam sekitar.

Ini kerana katanya, arang batu yang digunakan oleh setiap loji janakuasa akan sentiasa menjalankan kajian dan memantau dari semasa kesemasa.

" Oleh itu, sudah tiba masanya Sabah mempunyai loji janakuasa arang batu sendiri seperti masa negeri-negeri lain yang sudah memiliki loji berkenaan ".

Kita tidak nafikan bahawa ia merupakan keperluan penting untuk membangunkan negeri ini khususnya di kawasan pantai timur ", jelasnya.

Menurut beliau, kerancakan ekonomi negara ini akan dapat disaksikan khususnya dari segi kemudahan bekalan elektrik, air dan termasuklah peluang-peluang pekerjaan apabila projek berkenaan siap kelak.

Sementera itu, beliau berkata peruntukan sebanyak RM30 juta digunakan untuk mengatasi masalah bekalan air di Silabukan.

Sambil memaklumkan satu permohonan sudah pun dikemukakan kepada Kerajaan Pusat, beliau berkata peruntukan tersebut akan dimasukkan dalam RMK 10 tidak lama lagi.

" Saya berharap penduduk di Silabukan supaya bersabar kerana kita sedang berusaha bagi mengatasi masalah bekalan air di sana ", katanya.

Katanya, seperti masalah bekalan air di Tungku yang sudah dapat diatasi melibatkan peruntukan sebanyak RM25 juta itu di mana beliau juga mengharapkan masalah di Silabukan diatasi segera kerana kerajaan Barisan Nasional (BN ) tidak pernah mengabaikan keperluan rakyat, apatah lagi penduduk di luar bandar.

0 Hantarkan Komen Anda di sini:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.