Khamis, Mei 10, 2012

Program belia perlu untuk sedia pemimpin berwawasan

Lahad Datu : Belia dan beliawanis adalah pewaris kepimpinan akan datang. Tanpa belia, kita tidak pasti bagaimana satu kesinambungan kepimpinan dengan pelbagai program membentuk generasi yang berwawasan dapat di teruskan.

Ahli Dewan Undangan Negeri Tungku, Datuk Haji Ustaz Mohd Suhaili Haji Said menyuarakan kebimbangannya itu ketika menyempurnakan program Nur Sejahtera anjuran Pergerakan Wanita Umno P 188 Silam, dekat sini, baru-baru ini.


    "Sekiranya kita tidak mendedahkan para belia dan beliawanis ini dengan program -program yang dapat membentuk generasi berkepimpinan dan berwawasan, bagaimana negara akan diterajui pada masa akan datang".


    "justeru, saya amat berbangga dengan penglibatan belia dan beliawanis yang nampaknya begitu berminat menghadiri program yang diadakan hari ini" katanya.

   Antara objektif program berkenaan ialah membina kepimpinan belia dan beliawanis dan menghindarkan golongan terbabit daripada gejala sosial, sekaligus mendekatkan mereka dengan masjid. 

   Suhaili berkata, program seumpama ini perlu diteruskan untuk membina jati diri belia dan beliawanis agar menjadi satu genarasi yang mempunyai iltizam membangunkan diri, keluarga dan negara.

SUHAILI ketika menyampaikan sijil kepada salah seorang peserta program nur Sejahtera
   "Tiada alasan untuk kita tidak melibatkan diri dengan program sebegini, kerana pelbagai kemudahan yang sediakan secara percuma oleh kerajaan. Oleh itu, pergunakanlah dengan sebaik-baik dan manfaatkan sepenuhnya agar matlamat kerajaan membentuk belia dan beliawanis tercapai," katanya. 

    Jelasnya, setiap aktiviti yang dilaksanakan oleh kerajaan adalah semata-mata untuk memberi maklumat dan informasi mengenai pembangunan negara serta hala tuju pembangunan negara. 

    Pada program berkenaan, seramai 140 belia dan beliawanis telah menghadiri program yang julung kali diadakan di kawasan DUN Tungku. Hadir sama, Ketua Anak Negeri kawasan Tungku, Mukmin Hj. Anghai dan Pegawai Kemajuan Masyarakat Tungku, Kamarudin Hamid. 

0 Hantarkan Komen Anda di sini:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.