Khamis, April 26, 2012

keharmonian nadi negara aman,makmur dan sejahtera

LAHAD DATU- Ahli Dewan Undangan Negeri Tungku, Datuk Haji Mohd Suhaili Hj. Said, menegaskan bahawa persefahaman asas mengukuhkan perpaduan yang amat dituntut dalam Islam.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) berkata tanpa persefahaman, keharmonian tidak akan wujud dalam kehidupan, yang menjadi nadi penting kepada negara yang aman, makmur dan sejahtera. "Dengan perpaduan yang kukuh, akan lahir sebuah negara contoh, salah satu daripadanya, Malaysia. Ini adalah disebabkan kekuatan perpaduan yang selama ini terjalin sentiasa terus dipelihara," katanya ketika merasmikan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Kecil Tungku, dekat sini, baru -baru ini.

Sehubungan itu, katanya, bertetapan tema Majlis Tilawah tahun ini iaitu 'Persefahaman Asas Perpaduan Ummah,' beliau menyeru segenap lapisan rakyat supaya mengeratkan dan merapatkan hubungan silaturahim yang wujud selama ini.

"Dengan rahmatNya, majlis tilawah ini dapat diadakan, dan dengan penuh keinsafan seharusnya umat Islam tidak hanya tahu melagukan ayat -ayat suci Al-Quran sahaja, tetapi perlu mencari petunjuk Kalamullah yang Maha Agung itu," katanya.
SUHAILI (tengah) bersama para jemputan mendengar bacaan ayat-ayat suci Al-Quran daripada Qari/Qariah yang bertanding merebut tempat ke peringkat negeri
Jelasnya, perkara ini perlu untuk membuktikan kebenaran dan keunggulan Al-Quran sebagai kitab yang membawa manfaat kepada seluruh umat manusia tanpa mengira kaum dan agama.

Ujarnya, ini kerana pelbagai petunjuk dan cabang ilmu seperti biologi, zoologi, perubatan, fisiologi, embriologi,psiologi,sains,teknologi dan sebagainya terkandung di dalamnya. 

SUHAILI ketika menyampaikan hadiah kepada Johan Qari MTQ Tungku
Terdahulu, Pengerusi Ahli Jawatankuasa Pelaksana majlis merangkap Penolong Pegawai Daerah Kecil Tungku, Ibrahim Abd.Hakim, dalam ucapannya berharap majlis tilawah ini akan menjadi wadah kepada rasa sayang dan kecintaan terhadap al-Quran.

"Dengan melaksanakan pelbagai program keagamaan yang berteraskan kitab suci al-Quran sebagai petunjuk jalan yang lurus dan diredhai Allah SWT, ia berupaya memacu peradaban ketamadunan ummah," katanya sambil mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak yang berusaha menjayakan majlis tilawah berkenaan. 

Pada majlis tilawah yang turut dihadiri hampir 400 penduduk sekitar Mesej Nala itu, enam peserta masing -masing empat qari dan dua qariah memperdengarkan bacaan ayat -ayat suci al-Quran untuk merebut tempat ke pertandingan tilawah peringkat negeri. 

Keputusannya, johan qari telah disandang oleh Holislam Sundalu, naib johan Mohd.Arif Emat dan tempat ketiga Baco Puraga, masing -masing membawa pulang RM300, RM200, RM150 dan piala iringan.

Turut hadir, Pemimpin Kemajuan Rakyat, Datu Baniamin Datu Jamaludin, Penolong Pegawai Perhubungan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah Tungku, Ketua Daerah Tungku, Abdillah Hamzah dan Ketua Anak Negeri Tungku, Mukmin Anghai dan Abdul Malek Aidala.

0 Hantarkan Komen Anda di sini:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.