Sabtu, Januari 24, 2015

Kelahiran Rasulullah SAW merupakan satu nikmat dan Rahmat

SUHAILI
Tungku : Membesarkan sambutan Maulidur Rasul samalah kita membesarkan Islam kerana Rasulullah SAW adalah simbol bagi agama Islam. Kelahiran dan perutusan Baginda Nabi Muhammad SAW merupakan satu nikmat dan Rahmat kepada seluruh alam. Hal ini dinyatakan oleh Allah SWT di dalam surah Al anbiya ayat 107 yang bermaksud " Dan tidaklah kami utuskan Engkau ( Muhammad ) melainkan sebagai rahmat ke seluruh alam. " Suhaili berkata demikian ketika merasmikan sambutan Maulidur Rasul peringkat Felda Wilayah Sahabat yang diadakan di padang serbaguna Felda Wilayah Sahabat.

Suhaili yang juga Ahli Lembaga Pengarah Felda Malaysia berkata, selaras dengan misi risalah suci yang dibawa oleh junjungan besar Nabi Muhammad SAW sebagai rahmat seluruh alam, selain menyeru manusia kepada mentauhidkan Allah dan menyampaikan syariat Islam, baginda juga diutus bagi menyempurnakan akhlak yang mulia, sebagaimana sabda Rasululah SAW yang bermaksud " Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia ".

Katanya lagi, Rasulullah SAW telah menjadi contoh kepada kehidupan sebenar seorang muslim. Sifat-sifat kenabian Baginda iaitu Sidiq ( Benar ), Amanah, Tablig ( Menyampaikan ) dan Fatanah ( Bijaksana ) perlu menjadi contoh dan teladan kepada seluruh umat Islam. Pada sambutan Maulidur rasul kali ini marilah kita bersama-sama melihat bagaimanakah sifat dan keperibadian Rasulullah SAW boleh memberi kekuatan kepada kita untuk memperbaiki diri bagi menyahut cabaran kehidupan pada masa kini. Kita perlu mengembalikan penghormatan dunia terhadap umat Islam dengan menguasai ilmu dunia dan ukhrawi.

Jesteru itu, selaku umat Nabi Muhammad SAW, wajar untuk kita sentiasa  mengenang perjuangan Baginda Rasulullah SAW dalam menyebarkan dakwah Islam. Hasil perjuangan dakwah Baginda, maka kita dapat mengecapi nikmat iman dan Islam pada hari ini, ujarnya lagi.

SAMSUL MARABANG
Sementara itu, Pengerusi Sambutan Maulidur Rasul peringkat Felda Wilayah Sahabat En. Samsul Marabang berkata, sempena dengan tema sambutan Maulidur Rasul pada tahun ini," Perpaduan Nadi Transformasi Negara " menuntut umat Islam menghayati bagaimana Rasulullah SAW mentransformasikan pemikiran masyarakat Jahilliah yang tebal dengan pegangan tradisi yang karut marut dalam sejarah 23 tahun perjuangan Baginda. Sirah inilah yang perlu dihayati oleh semua umat Islam bahawa setiap perjuangan memerlukan tempoh masa yang tidak singkat dan menuntut kepada istiqamah yang tinggi.

Dalam menyambut maulidur rasul ini, tidak ada yang lebih penting melainkan untuk masyarakat menjunjung tinggi kerasulan Nabi Muhammad SAW supaya menjadikan baginda Rasulullah SAW sebagai  " uswatun hasanah " ( Ikutan dan contoh tauladan yang terbaik ) di dalam setiap aspek kehidupan manusia.

Tambahnya lagi, sehubungan dengan itu, umat islam pada hari ini perlu kuat, berilmu dan mempunyai ketakwaan yang tinggi supaya mampu menangani zaman yang sentiasa berubah dan mencabar. Umat Islam perlu menyediakan individu atau generasi yang berkualiti bagi melaksanakan agenda besar iaitu membina kemajuan, pembangunan, peradaban dan ketamadunan ummah.

JOHAN KONTINJEN SPANDUK BAGI KETEGORI JABATAN DAN AGENSI KERAJAAN
Antara pengisian dalam sambutan Maulidur Rasul pada tahun ini ialah pertandingan kontinjen spanduk dan ceramah agama yang disampaikan oleh Ustaz Haji Shahrul azam Haji Noor Zeli, Pengurus Hal Ehwal Islam Tabung Haji Kuala Lumpur.

Bagi pertandingan kontinjen spanduk 1436 H ketegori Jabatan/Agensi Kerjaaan johan dinobatkan kepada kontinjen spanduk FGV PM Pejabat Wilayah, naib johan Felda Prodata dan ketiga Felda Trading Services Sdn Bhd. Manakala bagi ketegori Ladang/Masjid/ Surau, johan dinobatkan kepada Masjid Nurul Iman Cenderawasih, naib Johan Kg, Hamparan Badai dan tempat ketiga diraih oleh Kompleks Kembara Sakti.

SUHAILI MENERIMA CENDERAHATI DARI JUANY
Untuk ketegori sekolah SAR/ SK, johan disandang oleh SAR Kembara Sakti, ditempat kedua SAR Embara Budi dan ketiga SAR Cenderawaih. Sementara bagi ketegori kontinjen terbaik dan johan keseluruhan dimenangi oleh kontinjen spanduk Komplek Kembara Sakti.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Pengurus Besar Wilayah Felda Wilayah Sahabat, Datuk Haji Juany Haji Salleh, Pemimpin Pembangunan Masyarakat Tungku Datu Baniamin Datu Jamaluddin, Ketua Daerah Tungku Abdillah Hamzah, Pegawai Kemajuan Masyarakat Tungku Haji Kamarudin Haji Hamid dan Penyelia Kemajuan Masyarakat Tungku En. Sabtu Susulan.

0 Hantarkan Komen Anda di sini:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.