Ahad, Januari 31, 2010

Pemimpin Bersama Rakyat

YB Datuk beramah mesra dengan penduduk kampung sambil mendengar masalah yang dihadapi yang penduduk kampung Silbukan Peringkat 1.
Uniknya pada majlis tersebut YB Datuk bersama-sama penduduk kampung menjamu selera dengan hidangan buah Durian yang dibawa sendiri oleh YB.
Silabukan Pkt 1 – Kehadiran YB Datuk Mejar ( K ) Ustaz Mohd Suhaili Hj. Said ke Silabukan Peringkat 1 bagi menghadiri majlis pemimpin bersama rakyat memberi makna kepada penduduk di kampung tersebut kerana dengan kehadiran YB mereka dapat meluahkan masalah dan memberi cadangan mengenai pembangunan di kg. Silabukan Peringkat 1.

Menurut Pengerusi JKKK Kg. Silabukan Peringkat 1 En. Paidi Ringkawah, YB Datuk Suhaili amat prihatin dan sentiasa mengambil berat masalah yang dihadapi oleh masyarakat dan penduduk.

Seramai 200 orang penduduk di Kg. Silabukan Peringkat 1 hadir yang diadakan di dewan serbaguna Kg. Silabukan Peringkat 1 dan bersama-sama meraikan kehadiran YB Datuk Suhaili. Uniknya pada majlis tersebut YB Datuk bersama-sama penduduk kampung Silabukan Peringkat 1 menjamu selera dengan hidangan buah Durian yang di bawa sendiri oleh YB Datuk Suhaili.

Kerajaan begitu komited untuk membantu rakyat dengan pelbagai kemudahan asas, di mana ianya bermanfaat kepada rakyat keseluruhannya. Sebagai contoh di Kampung Silabukan Peringkat 1 ini, jalan utama sedang dilaksanakan pembinaannya dengan menaik taraf ke jalan Primix ( Aspal ) dengan kos RM 4 juta. Menaik taraf Bekalan Air Luar Bandar ( BELB ) yang tidak lama lagi akan dilaksanakan kerana tangki simpanan air dan system perpaipan telah siap dibina pada tahun 2009. Oleh yang demikian, sokonglah kerajaan pada hari ini bagi kesinambungan pembangunan yang berterusan untuk rakyat keseluruhannya, ujar YB Datuk Ustaz Suhaili pada majlis tersebut.

YB Datuk berharap, apabila adanya peluang-peluang kursus yang diiklankan oleh agensi-agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan, ambilah peluang untuk menambahkan ilmu bagi membantu masyarakat keluar dari belenggu kemiskinan. Dengan ilmu yang diperolehi, gunakan dan rebutlah peluang pekerjaan dan perniagaan untuk menambah dan menaiktaraf hidup.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pemimpin Kemajuan Rakyat Tungku Datu Baniamin Datu Jamaluddin, CDO Tungku En. Kamarudin Hamid, Pemaju Mukim Tambisan En. Nourdin Abd Rajin dan Ketua Kampung Silabukan Peringkat 1 En. Jupani Pateri @ Juman.

Sabtu, Januari 30, 2010

Majlis Penyampaian Hadiah 2009 Kompleks Pendidikan Islam SAR Kg. Remang


Ibubapa yang hadir pada majlis tersebut








Kg. Remang – Majlis Penyampaian hadiah 2009 di Kompleks Pendidikan Islam SAR Kg. Remang yang dirasmikan oleh YB Datuk Mejar ( K ) Ustaz Mohd Suhaili Hj. Said ADUN N49 Tungku merangkap Presiden Majlis Hal Ehwal Anak Negeri Sabah pada 30hb. Januari. 2010.

Majlis ini diadakan setiap tahun dan bagi meraikan pelajar yang cemerlang dalam bidang akademik sepanjang tahun 2009. Mengikut rekod dan pencapaian Sekolah Agama Rakyat Kg. Remang adalah di antara sekolah agama rakyat di kawasan Lahad Datu yang terbaik melahirkan pelajar yang cemerlang.

Majlis bermula pada jam 8.30 pagi dengan persembahan Nasyid daripada pelajar-pelajar Sekolah Agama Rakyat Kg. Remang. Ibubapa pelajar juga turut hadir bagi bersama-sama meraikan majlis tersebut.

Menuntut ilmu sangat penting, kerana jika ilmu yang dituntut dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya maka ianya memberi kebaikan dan jika kita tidak berilmu dan tidak memanfaatkannya, kita akan ketinggalan dalam semua bidang yang diceburi. Jesteru itu, ibubapa wajib memberi anak-anak didikan, tidak kira ilmu agama atau dunia dengan menghantar anak-anak ke sekolah. Peranan ibubapa penting bagi memastikan pembelajaran anak-anak sentiasa mengikut perkembangan zaman yang semakin mencabar, ujar Suhaili pada majlis tersebut.

Hadir pada majlis tersebut ialah Pemimpin Kemajuan Rakyat N49 Tungku Datu Baniamin Datu Jamaluddin, Pegawai Kemajuan Masyarakat Tungku En. Kamarudin Hj. Hamid, Pemaju Mukim Tambisan En. Nourdin Abd Rajin dan Imam Daerah Lahad Datu Imam Salim Asahari.

Rabu, Januari 27, 2010

Majlis Dialog penduduk Kg. Teburi bersama Felcra Berhad dan Pegawai Daerah Lahad Datu.

Tungku – Atas daya usaha ketua kampung Teburi En. Amir bin Tuong mengadakan majlis dialog bersama Felcra Berhad yang turut dihadiri oleh Pegawai Daerah Lahad Datu En. Hj. Zulkefle Nasir bagi membincangkan pembangunan tanah Rejab Kampung di Teburi untuk penanaman Kelapa Sawit bagi membantu meningkatkan taraf hidup masyarakat di Kampung Teburi.

Majlis ini bermula pada jam dua petang di mana diadakan di perkarangan rumah En. Patisin Pg. Gudang. Dimulakan dengan persembahan tarian Bilok oleh Ketua Kampung Ulu Teburi En. Amir Tuong. Turut hadir pada majlis tersebut ialah Ketua Daerah Lahad Datu En. Sulaiman Atok, Pegawai Kemajuan Masyarakat N49 Tungku En. Kamarudin Hj. Hamid mewakili YB Datuk Ustaz Mohd Suhaili, Wakil MHEANS Tungku En. Jadi Kandawi, Pengurus Felcra Kawasan Lahad Datu En. Ramli Mat dan Ketua Kampung Kuala Teburi En. Sat Som.

Majlis ini diadakan bagi memberi peluang kepada penduduk kampung untuk berdialog dengan Pegawai Daerah dan Pengurus Felcra Kawasan Lahad Datu. Dialog ini adalah membincangkan mengenai pembangunan tanah rejab kampung Teburi untuk dibangunkan oleh Felcra Berhad bagi penanaman Kelapa Sawit.

Menurut Ketua Kampung Ulu Teburi En. Amir bin Tuong, penduduk kampung hendaklah menunjukkan sokongan kepada kerajaan yang bersedia membantu penduduk kampung mengusahakan tanah mereka bagi meningkatkan taraf hidup. Tingkatkanlah perpaduan dan keharmonian di kalangan penduduk dan jauhkan perasaan hasad dengki, kerana jika kita tidak bersatu padu maka pembangunan di kawasan kampung tidak akan terlaksana atau kampung akan jauh ketinggalan daripada arus pembangunan negara. Tanah yang terlibat untuk pembangunan penanaman Kelapa Sawit di Teburi ialah seluas 520 ekar.

En. Zulkefle berharap agar ketua kampung dan penduduk kampung di kawasan Teburi dapat memberi kerjasama dengan pihak Pejabat Daerah dan Felcra Berhad bagi melicinkan dan melancarkan proses pembangunan tanah rejab dan ianya memberi manfaat khususnya kepada penduduk kampung Kuala Teburi dan Ulu Teburi.

Khamis, Januari 21, 2010

Lawatan YB ke Kg. Sg. Merah bagi melawat mangsa banjir

YB Datuk turut melawat ke Kg. Sinakut bagi melihat dua buah rumah musnah akibat limpahan Sg. Sinakut.

YB Datuk Suhaili melawat ke Jambatan Sg. Merah yang musnah akibat banjir. Atas usaha Pengerusi JKKK En. Raut Bani membina jambatan sementara untuk kegunaan penduduk kampung bagi mengeluarkan hasil pertanian.


Tungku – YB Datuk Ustaz Mohd Suhaili telah mengadakan lawatan ke Kg. Sg. Merah, Tungku bagi berjumpa dengan penduduk kampung yang terlibat dengan banjir baru-baru ini. Turut mengiringi lawatan YB Datuk ialah Penolong Pegawai Daerah Tungku En. Ibrahim Abd Hakim, Pemimpin Kemajuan Rakyat N49 Tungku Datu Baniamin Datu Jamaluddin, Ketua Anak Negeri Tungku En. Abdillah Hamzah dan Pegawai Kemajuan Masyarakat N49 Tungku En. Kamarudin Bin Hamid.

Walaupun YB Datuk banyak urusan dan mesyuarat di Kota Kinabalu, tetapi YB Datuk sanggup membatalkan urusan dan mesyuarat tersebut bagi hadir dan berjumpa dengan penduduk kampung di kawasan Tungku dan melihat sendiri keadaan kampung dan penduduk.

Menurut YB Datuk, adalah menjadi tanggungjawab sebagai pemimpin turun padang bagi membantu rakyat yang memerlukan bantuan bagi meringankan beban di mana, pelbagai kerugian dan kerosakan apabila berlaku banjir yang kita tidak boleh ramal bila ianya berlaku. YB berharap agar, penduduk kampung sentiasa bersedia pada masa-masa akan datang bagi menghadapi musim tengkujuh dan sudah tentunya akan mengakibatkan banjir.

Dalam pada masa yang sama, Ketua Kampung dan Pengerusi JKKK hendaklah melaporkan terus kepada Ahli Jawatan Kuasa Bencana Alam peringkat daerah, bagi memudahkan pihak tersebut menghulurkan bantuan dari segi makanan, perubatan dan peralatan keselamatan. Tiada kerjasama daripada kedua belah pihak, maka usaha-usaha membantu dan menyelamat tidak akan terlaksana, ujar Suhaili.

Sebelum itu, YB Datuk telah mengadakan lawatan di Kg. Sinakut Tungku bagi melihat dua buah rumah musnah yang dihanyutkan arus banjir di Sg. Sinakut. YB Datuk turut menyampaikan bantuan berupa makanan asas kepada penduduk yang terlibat yang disalurkan melalui Jabatan Kebajikan Daerah.

Selasa, Januari 19, 2010

Sekitar Banjir di kawasan Tungku

2 buah rumah musnah dibawa arus banjir di Kg. Sinakut

Jalan menuju ke Kg. Teburi ditengelami oleh air


Di Pusat pemindahan mangsa banjir di Dewan Pusat Latihan Vokasional Pertanian Lahad Datu



Di Kg. Sg. Merah



Surau Kg. Long Pias, Tungku

Ahad, Januari 10, 2010

Kebakaran asrama di SK Sri Pantai, Tungku

Datu Baniamin meninjau dan melihat tempat kebakaran di SK Sri Pantai. Turut hadir Ketua Puteri Umno Silam Pn. Mizmah, CDO Tungku En. Kamarudin Hj. Hamid dan Penyelia Kemajuan Masyarakat N49 Tungku En. Abd Majid Alam.
Pada 08/01/2010 jam 2.00 petang telah berlaku kebakaran di SK Sri Pantai, Kg. Makuao yang melibatkan bangunan asrama pelajar lelaki dan perempuan serta rumah guru dan penyelia asrama. Bangunan tersebut musnah dijilat api dalam masa 20 minit sahaja memandangkan keadaan cuaca pada hari tersebut agak panas dengan angin bertiup kencang. Menurut saksi kejadian, Mohd Razul Rafie Sukiman iaitu mangsa bencana kebakaran, beliau ternampak asap berkepul-kepul keluar dari zink bangunan tersebut. Beliau dan beberapa cikgu yang lain bekejar ke tempat kejadian, dan tidak dapat menyelamatkan barang-barang di dalam bangunan tersebut kerana ketibanya beliau di sana, api telah merebak ke keseluruhan bangunan.

Pihak bomba tiba lebih kurang sejam kemudian, dan bertindak untuk memadamkan api yang masih marak dan dikhuatiri membakar ke bangunan yang berhampiran dengan bangunan tersebut. Asrama SK Sri Pantai adalah satu-satunya asrama yang diwujudkan bagi sekolah-sekolah kebangsaan di seluruh daerah Lahad Datu dan Tungku. Ianya menempatkan 22 pelajar dimana 16 orang pelajar perempuan dan 6 orang pelajar lelaki yang berjauhan dari sekolah SK Sri Pantai. Selain itu, warden, penyelia dan pembantu pengurusan murid juga tinggal di bangunan yang sama. Bomba mengesahkan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Anggaraan kerugian belum diketahui lagi, kerana pihak sekolah sedang membuat penilaian keseluruhan jumlah kerugian, bagi membuat laporan ke Pengarah Pendidikan Negeri Sabah. Menurut pihak bomba, kebakaran berkemungkinan dari litar pintas pendawaian di bangunan asrama tersebut.
Hadir melawat dan meninjau mangsa kebakaran ialah Pemimpin Kemajuan Rakyat N49 Tungku, Datu Baniamin Datu Jamaluddin, wakil pegawai pendidikan Daerah Lahad Datu Hj. Abdul Using, Guru Besar SK Sri Pantai En. Hj Rajid Abd Rashid, Ketua Puteri Umno P188 Silam, Puan Mizmah Apedullah, Pegawai Kemajuan Masyarakat N49 Tungku En. Kamarudin Hj. Hamid dan Penyelia Kemajuan Masyarakat N49 Tungku En. Abd Majid Alam. Datu Baniamin mewakili YB Datuk Ustaz Mohd Suhaili menyampaikan bantuan berupa barang makanan asas kepada mangsa kebakaran.

Jumaat, Januari 01, 2010

700 setinggan dapat rumah

Lahad Datu : Kira-kira 700 ketua keluarga setinggan yang bertaburan di beberapa kawasan sekitar daerah ini dan tidak pernah menikmati kehidupan di rumah sempurna, bakal memiliki kediaman sendiri melalui Program Perumahan Rakyat ( PPR ). Mereka diberi peluang menghuni rumah pangsa empat tingkat di Pangsapuri Mutiara Kasih ( PMK ) di Tungku, dekat sini, bagi memastikan masalah setinggan yang membebankan kerajaan negeri berupaya diatasi menjelang 2011.

Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN ) kawasan Tungku, Datuk Mohd Suhaili Said, berkata kebanyakan setinggan di daerah itu adalah di Kampung Puyut, Sabah Baru, Unta, Burung dan Wawasan. Beliau berkata kerajaan negeri dan persekutuan yang memandang serius masalah setinggan, sentiasa berusaha membasminya menerusi kaedah penyediaan skim penempatan lebih tersusun yang dilengkapi pelbagai kemudahan asas.

Kerajaan negeri bekerjasama dengan Syarikat Perumahan Negara Berhad ( SPNB ) bagi membina 8 blok rumah pangsa yang setiap satunya setinggi empat tingkat. Sebanyak 700 unit rumah berjaya disediakan selepas kerja pembinaan dimulakan kira-kira dua tahun lalu. Ada tiga kawasan Dewan Undangan Negeri ( DUN ) di bawah Perlimen Silam, iaitu Tungku, Lahad Datu dan Kunak.

Seramai 100 setinggan dari setiap kawasan itu akan ditempatkan di rumah pangsa berkenaan, katanya kepada Berita Harian di sini, semalam. Suhaili berkata, masyarakat setinggan harus bersyukur kerana diberi peluang menikmati kehidupan lebih selesa berdasarkan komitmen Kerajaan Barisan Nasional ( BN ) memberikan perkhidmatan terbaik bagi membela nasib rakyat.

Sementara itu, tinjauan Berita Harian di PMK mendapati, jalan berturap yang menghubungkannya dengan jalan utama Lahad Datu - Tungku dan jalan menghubungkan antara blok sudah siap sepenuhnya. Pegawai Pembangunan Masyarakat ( CDO ) Tungku, Kamarudin Hamid, berkata setakat ini, seramai 200 setinggan sudah ditemuduga dan akan ditingkatkan melalui temuduga selanjutnya.

Mereka berpeluang menyewa rumah ini dengan kadar RM140 sebulan. Dengan kadar bayaran serendah itu, mereka menikmati kemudahan tempat tinggal tiga bilik dan dua bilik mandi. "Selain itu, mereka juga diberi kemudahan surau dan dewan orang ramai. Kami akan memastikan hanya setinggan yang diberikan hak menyewa rumah berkenaan " katanya. Untuk tujuan itu, Unit Pemimpin Kemajuan Rakyat ( UPKR ) Tungku akan bekerjasama rapat dengan Pejabat Daerah Kecil Tungku.

Sumber : Berita Harian 31hb. Disember. 2009