Khamis, Disember 31, 2009

Rumah Terbuka Krimas Peringkat Daerah Kecil Tungku

YB Datuk Ustaz Mohd Suhaili merasmikan Majlis Krimas Peringkat Daerah Kecil Tungku di Dewan Serbaguna Kg. Sri Darun, Tungku
Lebih 400 masyarakat di kawasan Tungku dengan pelbagai suku kaum, bangsa dan agama menghadiri Majlis rumah terbuka Krimas peringkat Daerah Kecil Tungku yang dianjurkan oleh Wakil Ketua Anak Negeri Tungku En. Jadi Kandawi di dewan serbaguna Kg. Sri Darun di sini kelmarin.

Sambutan Hari Krimas itu bermula pada jam 1.30 petang hingga ke jam 4 petang membuktikan bahawa perpaduan dan keharmonian penduduk di kawasan Tungku sentiasa utuh dan terjalin begitu erat bagi melahirkan masyarakat yang bersatu-padu. Majlis ini telah dirasmikan oleh YB Datuk ( K) Ustaz Mohd Suhaili Hj. Said ADUN N49 Tungku merangkap Presiden Majlis Hal-Ehwal Anak Negeri Sabah. Di samping dalam beramah mesra bersama pemimpin-pemimpin di kawasan Tungku, orang ramai yang hadir turut disajikan jamuan serta dihiburkan dengan lagu-lagu tradisional penduduk kampung Sri Darun Begahak.

YB Datuk amat gembira dengan kehadiran pelbagai suku kaum yang hadir pada majlis Hari Krimas Peringkat Daerah Kecil Tungku yang dianjurkan pada setiap tahun . Ini menunjukkan bahawa perpaduan dan keharmonian penduduk di kawasan Tungku amat utuh dan akrab. Sambutan Hari Krimas ini adalah unik kerana dihadiri oleh pelbagai suku kaum dan ini menaikkan semangat 1Malaysia tanpa adanya batas sempadan yang menghalang pergaulan diantara suku kaum lain sebagaimana diwarwarkan oleh Perdana Menteri Malaysia Datu Seri Najib Tun Abd Razak.

Kataya, konsep 1Malaysia ‘ Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan ’ mengajak semua lapisan masyarakat di negara ini bukan sekadar melaungkan slogan tersebut, sebaliknya melaksanakan secara berterusan dan mengamalkan untuk melahirkan satu semangat yang padu dan jitu demi untuk perpaduan rakyat di Malaysia. Di samping itu, ianya akan melahirkan suatu bentuk pemikiran baru yang kreatif, rajin dan berusaha bersungguh-sungguh untuk menaikkan taraf hidup.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Penolong Pegawai Daerah Kecil Tungku En. Ibrahim Abd Hakim, Pegawai Kemajuan Masyarakat N49 Tungku En. Kamarudin Hj. Hamid, Ketua Anak Negeri Tungku , Pemaju Masyarakat En. Salleh Kamin Sajiran, En Abdillah Hamzah, En. Allen Kiang, En, Hj. Abd Malek Hj. Aidala, Wakil Ketua Anak Negeri Tungku Datu Ramlie Datu Mayong.

Rabu, Disember 30, 2009

Majlis Penyampaian Peralatan Projek Peningkatan Pendapatan Ekonomi Setempat Projek Mesej Kg. Nala, Tungku

i YB Datuk menyampaikan benih rumpai laut kepada peserta KIRT projek MESEJ di Kg. Nala.
Kg. Nala - Majlis penyampaian Projek Peningkatan Pendapatan Ekonomi Setempat Projek MESEJ Kg. Nala telah di adakan di Kg. Nala, Tungku yang telah di sampaikan oleh YB Datuk Ustaz Mohd Suhaili Hj. Said dalam satu majlis yang penuh meriah. Seramai 50 orang ketua Isi Rumah Termiskin ( Miskin Tegar ) telah menerima pelbagai peralatan seperti perahu, tali, pelampung dan benih rumpai laut.

Pemilihan Ketua Isi Rumah Termiskin ini di pilih melalui senarai e-kasih yang disediakan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pada tahun 2007 melalui proses temuduga yang dilaksanakan oleh Pejabat Daerah Lahad Datu baru-baru ini. Setiap peserta KIRT yang terpilih akan di tempatkan di kawasan projek MESEJ Kg. Nala dengan disediakan pelbagai kemudahan asas seperti rumah, sekolah tadika, surau, elektrik dan kemudahan bekalan air bersih . Bagi projek rumpai laut, Jabatan Perikanan Daerah telah mengenal pasti satu kawasan yang sesuai iaitu di perairan Kg. Nala dan Kg. Manar.

YB Datuk berharap agar semua peserta yang terpilih akan menggunakan kemudahan peruntukan dengan sebaik mungkin bagi meningkatkan taraf hidup dan proses membasmi kemiskinan dapat dikurangkan demi sasaran kerajaan membasmi kemiskinan pada tahun 2010.

Jika kita berminat untuk sesuatu kerja, kita hendaklah bekerja bersungguh-sungguh untuk melaksanakan dan mencapai sasaran yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan. Adalah tidak adil jika kita diberi peruntukan tetapi kita tidak bersyukur atas pemberian tersebut. Oleh yang demikian, pergunakanlah dan manfaatkanlah segala peruntukan yang diberikan oleh kerajaan pada hari ini, katanya lagi.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Penolong Pegawai Daerah Kecil Tungku En. Ibrahim Abd Hakim, Penolong Pegawai Daerah Pembangunan Lahad Datu, En. Mat Jaidin Hj Yassin, Penolong Pegawai Daerah Pentadbiran Lahad Datu En. Juraimin Hj. Jadil, Peguasa Perikanan Daerah Lahad Datu En. Talib Hasan, Wakil Pejabat Pembangunan Negeri Sabah Cik. Nina Aidil, Pegawai Kemajuan Masyarakat Tungku En. Kamarudin Hj. Hamid, Pemaju Mukim Tungku Hj. Abd Kayum Hj. Omar dan Ketua Anak Negeri Tungku En., Abdillah Hamzah.

Selasa, Disember 29, 2009

Program ‘ Back to School ’ Anjuran Biro Beliawanis P188 Silam bersama Pergerakan Puteri Umno P188 Silam.

Lahad Datu – Biro Beliawanis P188 Silam bersama Pergerakan Puteri Umno P188 Silam telah menganjurkan program ‘ Back To School ’ yang sempurnakan oleh YB Datuk Ustaz Mohd Suhaili Hj. Said ADUN N49 Tungku merangkap Presiden Majlis Hal-Ehwal Anak Negeri Sabah dan Timbalan Ketua Bahagian Umno P188 Silam. Program ini telah di adakan di Terminal Bas Lahad Datu yang dihadiri oleh orang ramai yang layak menerima cenderahati berupa beg sekolah dan alat tulis yang disampaikan oleh YB Datuk Ustaz Mohd Suhaili Hj. Said. Program tersebut turut diserikan oleh persembahan daripada belia-beliawanis P188 Silam dengan persembahan tarian igal-igal dan tarian poco-poco.

Ilmu adalah penting, kerana kejayaan sesuatu bangsa itu ditentukan oleh ilmu. Oleh yang demikian, menuntut ilmu itu tidak kira peringkat umur. Selagi hayat dikandung badan kita disarankan untuk mencari ilmu untuk kebaikan agama, bangsa dan negara. Baru-baru ini ramai anak-anak muda dari Pemuda dan Puteri Umno melanjutkan pelajaran untuk mengambil diploma. Ini adalah petanda yang baik kepada penyambung warisan kepimpinan pada hari ini. Ujar YB Datuk pada majlis tersebut.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Ketua Puteri Umno P188 Silam Puan. Mizmah Apedullah, Pemimpin Kemajuan Rakyat N49 Tungku Datu Baniamin Datu Jamaluddin, Setiausaha Umno P188 Silam En. Mohd Firdaus Datuk Alawi, Penolong Pegawai Pentadbiran Lahad Datu En. Juraimin Hj. Jadil dan Pemaju Mukim Tungku ( Silabukan ) En. Abd Hadji Asari.

Ahad, Disember 27, 2009

Lawatan YB Datuk Ustaz Mohd Suhaili ke Tanjung Labian dan ke Felda Sahabat

YB Datuk mengadakan perbincangan dengan Ketua Kampung Tinagian mengenai potensi perlancongan di kawasan Tanjung Labian


Tungku – YB Datuk Suhaili telah mengadakan lawatan ke kawasan Tanjung Labian dan Felda Sahabat bersama rombongan ketua-ketua anak negeri ,ketua-ketua kampung, Pengerusi-Pengerusi JKKK mukim Tungku. Lawatan ini adalah untuk berjumpa dengan masyarakat dan rakyat di kawasan berkenaan bagi mendengar sendiri masalah-masalah yang dihadapi dan akan berusaha menyelesaikan secepat mungkin bagi merealisasikan slogan 1 Malaysia “ Rakyat didahulukan Pencapaian diutamakan ”. Lawatan YB bermula di Kampung Tanjung Labian dan Kg. Tanjung Batu. Dalam lawatan tersebut YB berkesempatan melihat jambatan di kampung Tanjung Labian dan Masjid di Kampung Tanjung Batu. YB memaklumkan kepada Pengerusi-Pengerusi JKKK agar membuat laporan segera bagi memohon projek-projek yang melibatkan rakyat di kawasan masing-masing, agar projek pembangunan tersebut dapat dinikmati oleh rakyat keseluruhannya.

YB Datuk berkata, dalam kita menjalankan tugas di kawasan masing-masing kita hendaklah sentiasa peka dan prihatin terhadap masalah-masalah yang dihadapi oleh masyarakat yang sudah tentunya memerlukan perhatian yang serius dan seterusnya menyelesaikan masalah yang melibatkan rakyat. Dalam pada itu, sokongan dan kerjasama rakyat amat diperlukan bagi membantu pihak-pihak agensi kerajaan untuk turun padang, ini adalah kerana jika sokongan rakyat di suatu kawasan tidak kuat dan jitu kepada kerajaan Barisan Nasional, bagaimana kerajaan hendak membantu membangunkan kawasan tersebut. Sebagai timbal balik sokongan rakyat kepada kerajaan Barisan Nasional, kerajaan akan sentiasa berusaha untuk membantu dan merealisasikan kehendak rakyat Walau pun tidak sepenuhnya, tetapi kerajaan Barisan Nasional pada hari ini telah banyak membawa kepada perubahan dan pembangunan di kawasan Tanjung Labian dan kampung-kampung di sekitarnya.

Pada masa ini, kerajaan bercadang hendak membina satu Loji Janakuasa Arang Batu di Kg. Sinakut. YB berharap kepada penduduk kampung di seluruh kawasan Tungku menyokong agar ianya dapat dilaksanakan. Kita sedia maklum di kawasan Tanjung Labian dan ke Mukim Tambisan bekalan elektirik begitu diperlukan oleh rakyat di kawasan tersebut. Sejak pemerintahan USNO, BERJAYA dan PBS, kawasan Tanjung Labian dan Mukim Tambisan tidak pernah menerima bekalan elektrik. Oleh yang demikian tibalah masanya untuk kita sama-sama mempertahankan dan memperjuangkan agar Loji Janakuasa Arang Batu tersebut dapat dibina dan seterusnya dapat membekal elektrik di seluruh kawasan Tungku.

Turut mengiringi lawatan Datuk Suhaili ialah Pegawai Kemajuan Masyarakat N49 Tungku En. Kamarudin Hj. Hamid, Ketua Anak Negeri En. Abdillah Hamzah, Ketua-ketua kampung dan pengerusi-pengerusi JKKK mukim Tungku.

Sabtu, Disember 19, 2009

Majlis Sambutan Maal Hijrah 1431H/2009M Peringkat Daerah Kecil Tungku

Tokoh Maal Hijrah 1431H Hj. Mamali Mundu @ Mohd Ali

Majlis sambutan Maal Hijrah 1431H/2009M peringkat Daerah Kecil Tungku telah diadakan pada 19hb. Disember. 2009 bersamaan 2 Muharram 1431H di perkarangan Urusetia Daerah Kecil Tungku yang dirasmikan oleh YB Mejar (K) Datuk Ustaz Mohd Suhaili Hj. Said ADUN N49 Tungku merangkap Presiden Majlis Hal-Ehwal Anak Negeri Sabah.

Majlis ini telah bermula pada jam 7.30 pagi dengan didahului bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh Tuan Hj. Sammah Sambaih ( Johan Qari MTQ 1430H/2009M peringkat Daerah Kecil Tungku ). Diikuti bacaan doa selamat oleh Imam Hj. Ladali Sakka Imam Kariyah Felda Desa Kencana. Majlis sambutan Maal Hijrah kali ini begitu meriah dengan kehadiran kontinjen-kontinjen sepanduk daripada kawasan Felda Sahabat dan dari kampung tradisi di kawasan Tungku, yang mana telah dibahagikan kepada dua ketegori, iaitu ketegori ‘ Kampung Tradisi ’ dan ketegori ‘ Jabatan kerajaan/Felda ’. Selain dari itu, turut diadakan anugerah pengurusan Masjid/Surau cemerlang. Salah satu anugerah yang baru dimasukkan dalam sambutan Maal Hijrah kali ini ialah anugerah Tokoh Maal Hijrah peringkat Daerah Kecil Tungku.

Orang Islam perlu ada kekuatan minda dan fizikal dengan beristiqamah dan bersungguh-sungguh dalam melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan oleh Allah s.w.t. Adalah menjadi kewajiban setiap kaum muslimin dan muslimat mengikut dan patuh kepada ajaran-ajaran yang telah disyariat di dalam Islam. Dalam kita melangkah ke tahun baru Islam 1431 H, marilah kita sama-sama berniat dengan tekad untuk mengubah diri dan keluarga menjadi lebih baik dengan membuat perubahan-perubahan ke arah kebaikan dan seterusnya memberi manfaat kepada masyarakat Islam keseluruhannya. Proses perubahan dan azam baru pada setiap tahun baru Islam hendaklah sentiasa dipraktikkan dan diterjemahkan menjadi satu kenyataan agar ianya tidak terhenti di situ sahaja. Kerana jika kita hanya bercita-cita dengan azam baru tetapi tidak dilaksanakan ianya merupakan angan-angan kosong, dan dikhuatiri akan melahirkan satu masyarakat yang tidak berwawasan dan tidak maju dalam semua bidang yang diceburi. Kata YB Datuk pada majlis tersebut.

Tokoh Maal HIjrah 1431H.2009M peringkat Daerah Kecil Tungku ialah Hj. Mamali bin Mundu @ Mohd Ali, seorang mualaf dan banyak memperjuangkan agama Islam di kawasan Tungku. Beliau menerima hadiah wang tunai sebanyak RM500.00 bersama Plak dan Lihar ( Al-Quran ) serta Sijil Penghargaan.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Penolong Pegawai Daerah Tungku En. Ibrahim Abg Hakim selaku Pengerusi Pelaksana Sambutan, Pemimpin Kemajuan Rakyat N49 Tungku Datu Baniamin Datu Jamaluddin, Ketua Belia Usia Cawangan Lahad Datu, En Abd Hakim Ghulam Hasan, Ketua Anak Negeri Tungku En. Abdillah Hamzah, Hj. Abd Malek Hj. Aidala, Allen Kiang, Penolong Pegawai Tadbir Agama Ustaz Mohammad Tasawwuf bin Hasan, En. Gaspar Sari.

Jumaat, Disember 18, 2009

Majlis perasmian Masjid Nurul Imam Kg. Tulibas Kecil, Tungku

YB menandatangani Plag Perasmian sambil diperhatikan oleh Penolong Pegawai Daerah Tungku En. Ibrahim Abd Hakim
Tulibas – Majlis perasmian Masjid Nurul Imam Kg. Tulibas kecil telah dirasmikan oleh YB Datuk Ustaz Suhaili Hj. Said dalam satu majlis ringkas dan sungguh bermakna kepada penduduk kampung Tulibas Kecil. Pembinaan Masjid ini telah dilaksanakan pada awal bulan mei 2009 di mana kontraktor yang membinanya adalah penduduk kg. Tulibas Kecil. Tapak pembinaan masjid ini adalah wakaf daripada seorang penduduk Kg. Tulibas kecil iaitu En. Jamarin bin Sulaiman, di mana telah diwakafkan sebanyak 2 ekar.

Dengan siapnya masjid ini, maka penduduk kampung Tulibas Kecil dapatlah manfaatnya kerana sebelum terbinanya masjid ini penduduk kampung Tulibas Kecil mengerjakan solat berjemaah di masjid lama iaitu berhampiran pantai. Dengan keadaan masjid yang lama agak uzur dan tidak selamat digunakan , kerajaan mengambil tindakan segera bagi membina masjid baru. Ini berikutan daripada lawatan Pengarah Pembangunan Negeri Sabah En. Matusin Sunsang ke Tulibas Kecil baru-baru ini, supaya pembinaan masjid dan jalan gravel ke kg Tulibas dipercepatkan.

Dalam kita membangunkan kampung perkara pertama yang perlu dititik beratkan ialah mendirikan masjid atau surau. Kerana Masjid atau surau adalah tempat ibadah dan tempat untuk mengajar anak-anak penduduk kampung belajar agama, Al-Quran dan pelbagai ilmu yang bermanfaat boleh diajar. Di zaman Rasulullah, setelah baginda berhijrah ke Madinah, perkara utama yang Rasulullah lakukan ialah mendirikan Masjid. Pada Masa itu, masjid bukanlah semata-mata untuk beribadah kepada Allah s.w.t tetapi masjid di gunakan untuk tempat menuntut ilmu, bermesyuarat dalam pelbagai aktiviti yang dilaksanakan, kata suhaili pada masjlid tersebut.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pegawai Kemajuan Masyarakat Tungku En. Kamarudin Hj. Hamid, Ketua Anak Negeri Tungku En. Abdillah Hamzah selaku tuan rumah, En. Allen Kiang, En. Hj Abd Malik Hj. Aidala, Pemaju Mukim Tungku En. Abd Kayum Hj. Omar, Pemaju Mukim Silabukan, wakil ketua anak negeri Tungku Datu Ramlie Datu Mayong, ketua-ketua kampung dan pengerusi-pengerusi JKKK kawasan Tungku.

Kenyataan Datu Ramlie Datu Mayong mengenai Loji Janakuasa Arang Batu di Kg. Sinakut, Tungku.

Saya Wakil Ketua Anak Negeri Tungku amat bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan Negeri dan Persekutuan kerana menjadikan Kg. Sinakut/Felda di Tungku membina Loji Janakuasa Arang Batu yang pertama di kawasan Pantai Timur Sabah.

Oleh kerana sering berlaku gangguan bekalan elektrik di kawasan Tungku dan Lahad Datu, maka ianya amat bertepatan dengan pembinaan Loji Janakuasa Arang Batu di Kg. Sinakut/Felda Sahabat di Tungku. Walaubagaimana pun, pembinaan Loji tersebut tidak akan dilaksanakan sehinggalah adanya kelulusan daripada pihak Jabatan Alam Sekitar dan Kajian Terperinci Kesan Alam Sekitar ( EIA ). Sebagaimana sedia maklum bila sebut sahaja arang batu, pelbagai tanggapan bahawa arang batu boleh mencemar dan mengakibatkan pelbagai penyakit yang timbul olehnya. Tetapi baru-baru ini, lawatan pemimpin-pemimpin di kawasan Tungku dan Lahad Datu ke Loji Janakuasa Sultan Azlan Shah, Manjong Perak dan ke Stesen Janakuasa Sultan Salahuddin Abd Aziz di Kapar, Selangor, yang diketuai oleh YB Datuk Ustaz Mohd Suhaili Hj. Said ADUN N49 Tungku telah melihat dan hadir sendiri ke Loji Janakuasa tersebut. Mereka di bawa masuk ke setiap pelusuk Loji Janakuasa tersebut tanpa sebarang sekatan atau bebas melihat keadaan di sana. Selain itu, rombongan lawatan juga telah di bawa melihat Loji tersebut dari laut.

Kesimpulan daripada lawatan tersebut ialah tiadanya pencemaran daripada Loji Janakuasa tersebut, malahan terdapatnya aktiviti-aktiviti pemeliharaan ikan dalam sangkar dan pemeliharaan kerang yang berdekatan dengan loji tersebut. Jadi jika selama ini pelbagai pihak melontorkan tuduhan bahawa loji janakuasa arang batu mencemarkan alam sekitar, saya menyeru kepada penduduk di kawasan Tungku dan Lahad Datu supaya bersatu untuk menyokong pembinaan Loji Janakuasa Arang Batu di Kg. Sinakut / Felda Sahabat. Pada pemerhatian saya, sebenarnya tiada pencemaran daripada Loji Janakuasa Arang Batu yang sering digembar gemburkan oleh pihak NGO dan pembangkang yang sengaja menjadikannya isu politik semata-mata.

Majlis MKN peringkat Tungku anjuran Majlis Keselamatan Negara, Negeri Sabah


Pertandingan igal-igal ( Tarian Tradisional suku kaum bajau)

Tungku – 13 Disember 2009 majlis keselamatan Negara telah menganjurkan Majlis sepetang bersama pemimpin yang telah menjemput dua orang wakil rakyat kawasan Tungku dan Wakil Rakyat Parlimen P188 Silam, YB Datuk Ustaz Mohd Suhaili Hj. Said dan YB Hj. Salleh Hj. Kalbi bagi merasmikan dan menutup majlis ini. Sebelah pagi majlis tersebut telah dirasmikan oleh YB Hj. Salleh Hj. Kalbi dan sebelah petangnya majlis tersebut telah ditutup oleh YB Datuk Ustaz Mohd Suhali Hj, Said.

Majlis ini adalah bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturahim di kalangan pemimpin dan masyarakat di kawasan Tungku, di mana pelbagai aktiviti dianjurkan seperti sukaneka, tarik tali dan pertandingan igal-idal ( Tarian tradisional suku kaum Bajau ). Selain dari itu, ceramah dan taklimat keselamatan diadakan, bagi memberi maklumat kepada masyarakat di kawasan Tungku. Usaha ini adalah untuk menyedarkan kepada orang ramai bahawa kawalan keselamatan oleh Polis Diraja Malaysia sentiasa terkawal dan memudahkan masyarakat bebas melakukan aktiviti-aktivti seharian.

Menurut YB Datuk Ustaz Mohd Suhaili, keselamatan penting di dalam sesebuah Negara bagi memelihara keharmonian dan kesejehteraan. Di mana kita hendaklah sentiasa mematuhi dan memahami Rukun Negara. Sebagai masyarakat yang berbilang kaum, adalah penting bagi memelihara perpaduan dan keharmonian dan ini akan melahirkan satu suasana yang aman dan damai. Kita ambil contoh di negara-negara Arab, mereka sentiasa berperang sesama sendiri kerana perbezaan fahaman agama, politik yang keterlaluan. Jika perkara ini tidak dibendung maka negara tersebut akan dilanda kemelut ekonomi yang sudah tentunya membawa kepada masalah rakyat keseluruhannya.

Di Malaysia hari ini, kita amat bertuah kerana pemimpin- pemimpin yang ada sekarang ini, begitu komited bagi memelihara perpaduan dan keharmonian serta kesejehteraan rakyat. Tetapi ada sebilangan pihak-pihak yang tidak bertangggungjawab mengambil kesempatan untuk meracuni minda rakyat dengan memecah belahkan dan merosakkan perpaduan dan keharmonian. Oleh yang demikian kita haruslah mengambil iktibar daripada negara-negara yang bergolak seperti di selatan Thailand, Iraq, pelestin dan banyak lagi negara yang telah dimusnah akibat daripada peperangan dan permusuhan, ujar YB Datuk pada majlis tersebut.

Ahad, Disember 13, 2009

Lawatan ke Loji Janakuasa Sultan Azlan Shah, Manjong, Perak dan ke Stesen Janakuasa Sultan Salahuddin Abdul Aziz Kapar, Selangor.

                                                                                 
Pada 8hb. Disember. 2009 hingga 11hb. Disember. 2009 rombongan dari Pemimpin-pemimpin Tungku dan Lahad Datu telah mengadakan lawatan ke Loji Janakuasa Sultan Azlan Shah, Manjong Perak dan ke Stesen Janakuasa Sultan Salahuddin Abd Aziz, Kapar Selangor. Rombongan tersebut diketuai oleh YB Datuk Ustaz Mohd Suhaili Hj. Said ADUN N49 Tungku. Rombongan ini disertai oleh pemimpin tempatan Tungku dan Lahad Datu iaitu Penolong Pegawai Daerah Tungku En. Ibrahim Abd Hakim, Penolong Pegawai Daerah ( Pembangunan ) Lahad Datu En. Mat Jaidin Hj Mohd Yassin, Pemimpin Kemajuan Rakyat N49 Tungku Datu Baniamin Datu Jamaluddin, Pegawai Kemajuan Masyarakat N49 Tungku En. Kamarudin Hj. Hamid, Penyelia Kemajuan Masyarakat N49 Tungku En. Abd Majid Alam, Ketua Anak Negeri Tungku En. Abdillah Hamzah, Abd Momen Anghai, Pemaju Mukim En. Abd Kayum Hj Omar, Abd Hadji Asahari, En. Nordin Abd Rajin, Ketua Masyarakat Cina Lahad Datu Leong Kit Wai Pemuda LDP Tungku En. Hawai Kuan, Pengerusi JKKK Kg. Sg. Merah/Sinakut, Ketua Kampung Tanjung Labian Hj. Mahmud Mallang, Ketua Cawangan Umno Kg. Tg. Labian En. Kunsul Nahul, Timbalan Pengerusi JKKR Felda Sahabat 3 En. Bakar Jaafar, Pengerusi JKKK Kg. Nala En. Sabtu Susulan, Imam Rawatib Kg. Sinakut Imam Abd. Mutalib bin Alias dan Abd Naddin Shaiddin seorang wartawan Utusan Borneo.

Tujuan lawatan ini adalah untuk melihat keadaan sebenar Loji Janakuasa tersebut yang menggunakan arang batu, di mana sebelum ini telah menjadi isu hangat di kawasan Tungku dan Lahad Datu. Isu utama yang menjadi perbualan di kalangan NGO-NGO ialah Loji Janakuasa menggunakan Arang Batu boleh menyebabkan pencemaran alam sekitar dan kesihatan penduduk yang berdekatan akan terjejas. Selain daripada itu, ada juga berapa pihak mengambil kesempatan menjadikan isu politik, yang mana menjadikan isu bahawa Loji Janakuasa menggunakan arang batu tidak selamat dan kerajaan tidak memikirkan kesan dan akibat dengan pembinaan Loji Arang Batu tersebut kepada masyarakat yang berhampiran.

Sebagaimana sedia maklum bahawa masalah bekalan elektrik di kawasan Tungku dan Lahad Datu begitu kritikal di mana selalu berlaku Black Out yang menyebabkan gangguan bekalan elektrik yang berpanjangan. Oleh yang demikian, kerajaan pada masa ini telah mengambil satu langkah yang drastik untuk memastikan tiadanya gangguan bekalan elektrik di kawasan Pantai Timur Sabah dengan membina satu Loji Janakuasa Arang Batu di Kg. Sinakut Tungku. Walau bagaimana pun, sebelum pembinaan Loji tersebut, ianya perlukan kelulusan daripada EIA dan Jabatan Alam Sekitar. Pelbagai usaha dan pemantauan akan dan telah dilakukan oleh pihak Jabatan Alam Sekitar dan EIA memastikan bahawa sebelum pembinaan dilaksanakan ianya perlu mendapat kelulusan. Pelbagai aspek dipantau dan diselidiki dengan mengambil kira keselamatan penduduk yang berhampiran seperti alam flora, habitat semula jadi, ekosistem, aktiviti pertanian/ladang dan pelbagai lagi yang mungkin boleh menjejaskan aktiviti-aktiviti yang berkaitan.

Selama 4 hari melawat dan melihat sendiri keadaan di kedua-dua Loji Janakuasa tersebut, keadaan sangat selamat, tiada pencemaran. Kami telah dibawa ke setiap pelusuk Loji Janakuasa Arang Batu tersebut termasuk melihat dari laut dengan menaiki bot. Yang menjadi tumpuan kami pada lawatan tersebut ialah aktiviti perternakan ikan dalam sangkar dan aktiviti perternakan kerang yang hampir dengan Loji tersebut. Kami telah menemui beberapa orang penduduk yang berdekatan dengan Loji tersebut, mereka menyatakan bahawa pembinaan Loji Janakuasa Arang batu di Manjong, telah menaikkan taraf hidup dan ekonomi serta membuka peluang-peluang pekerjaan di Loji tersebut. Loji tersebut telah beroperasi selama 6 tahun. Selama ianya beroperasi, tidak pernah berlaku pencemaran dari Loji tersebut, kerana ianya sentiasa di pantau oleh Jabatan Alam sekitar dan EIA ( Kajian Terperinci Kesan Alam Sekitar ).

Di Stesen Janakuasa Sultan Salahuddin Abd Aziz di Kapar, Selangor, kami telah dibawa ke pusat perternakan kerang yang mempunyai keahlian seramai 65 orang. Pusat perternakan tersebut adalah terlalu hampir dengan Loji tersebut iaitu kira-kira 500 meter sahaja. Kami telah diberi taklimat mengenai perternakan kerang dan seterusnya dihidangkan kerang yang direbus. Kami sungguh terkejut, kerana kerang di sana amat besar dengan diameter di antara 20mm ke 35 mm. Menurut pengerusi Persatuan perternakan kerang di Kapar, aktiviti perternakan kerang ini telah lama dilaksanakan walaupun ianya berdekatan dengan Loji Janakuasa arang batu.

Oleh yang demikian, misi lawatan kami ke Loji Janakuasa Manjong Perak dan Stesen Janakuasa Sultan Salahuddin Abd Aziz di Kapar Selangor amat mustahak bagi menyampaikan maklumat yang benar kepada masyarakat di Tungku mengenai Loji Janakuasa Arang Batu. Kita tidak perlu mendengar dari pihak yang tidak bertanggung jawab menyatakan bahawa Loji Janakuasa Arang Batu tidak selamat dan mencemar, tetapi, kami yang telah lihat dan hadir sendiri ke Loji tersebut. Sebagai masyarakat di kawasan Tungku haruslah menerima dan menyokong pembinaan Loji Janakuasa arang baru di Kg. Sinakut, Tungku demi untuk pembangunan di Tungku. Jangan percaya dengan pelbagai isu yang ditimbulkan, kerana mereka-mereka yang membangkang pembinaan Loji Janakuasa arang batu tersebut tidak pernah melawat dan melihat sendiri keadaan di sana.

Isnin, Disember 07, 2009

Himpunan 2,800 Sahabat AIM Cawangan Lahad Datu dan Perasmian cawangan Emas



Melawat gerai Sabahat AIM cawangan Lahad Datu
YB melawat perbarisan Sahabat AIM
Seramai 2800 Sahabat AIM telah menghadiri perhimpunan di padang bandaran Lahad Datu, di mana perhimpunan ini adalah yang pertama kali diadakan. Perhimpunan ini diadakan bagi mengeratkan hubungan silaturrahim di kalangan Sahabat dengan mengadakan aktiviti sukan dan pertandingan memasak. Perhimpunan ini telah dirasmikan oleh YB Datuk Ustaz Mohd Suhaili Hj. Said ADUN N49 Tungku merangkap Presiden hal-ehwal anak negeri Sabah. Amanah Ikhtiar ini adalah salah satu badan yang dilantik oleh kerajaan bagi membantu meningkatkan taraf hidup masyarakat yang terlibat secara langsung dengan AIM.

Kita sedia maklum bahawa kerajaan akan berusaha bagi membantu rakyat keluar dari kemiskinan, oleh yang demikian, salah satu saluran yang amat sesuai ialah dengan membuat pinjaman daripada Amanah Ikhtiar Malaysia. Ini dapat memacu ekonomi dan membantu meningkatkan taraf hidup rakyat dengan berniaga. kata YB pada majlis tersebut.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pemimpin Kemajuan Rakyat N49 Tungku, Datu Baniamin Datu Jamaluddin, Pegawai Kemajuan Masyarakat N49 Tungku En. Kamarudin Hj. Hamid, Ketua Anak Negeri N49 Tungku En. Abd Mukimin Anghai, Pemaju Mukin Silabukan En. Abd Hadji Asari.

Ahad, Disember 06, 2009

YB Datuk menghadiri majlis perkahwinan anak Peneroka Felda di Residence Beach Resort



Sebagai wakil rakyat di kawasan Tungku, adalah menjadi kelaziman menghadiri majlis-majlis yang dianjurkan oleh pihak-pihak yang tertentu. Apatah lagi dengan ketibaan cuti persekolahan hujung tahun, maka ramailah yang akan mengambil kesempatan untuk mengadakan majlis perkahwinan. Menurut bapa kepada pengantin perempuan En. Hj. Arsah seorang peneroka di Desa Kencana, kehadiran YB Datuk Ustaz Mohd Suhaili ke majlis perkahwinan anaknya, amat ditunggu-tunggu oleh masyarakat di kawasan Felda, kerana YB Datuk adalah salah seorang Ahli Lembaga Pengarah Felda dan ianya boleh membawa perkara-perkara yang berkaitan dan seterusnya mengajukan masalah-masalah Peneroka, kakitangan anak syarikat Felda ke peringkat atasan. Pada majlis tersebut dihadiri oleh pengurus-pengurus ladang, pengerusi-pengerusi JKKR Felda sabah dan kakitangan Felda Sahabat.

Turuh hadir mengiringi YB Datuk ialah Ketua Anak Negeri Tungku En. Momen Anghai, CDO Tungku En. Kamarudin Hj. Hamid.

Sabtu, Disember 05, 2009

Mesyuarat Ketua Anak Negeri, Wakil Ketua Anak Negeri dan Ketua-Ketua Kampung di kawasan N 49 Tungku bersama YB Datuk Ustaz Mohd Suhaili



Tungku- Sebagai pentadbir di kawasan Tungku, kita hendaklah sentiasa mengunakan budi bicara dan tolak ansur dengan masyarakat supaya ianya akan lebih berkesan dan memberi manfaat kepada masyarakat keseluruhannya. Adalah menjadi tanggungjawab kepada semua pemimpin di semua peringkat di Tungku menjalankan tugas dan amanah yang telah dipertanggungjawab oleh kerajaan, dengan dedikasi dan bersungguh-sungguh. Ketua Anak Negeri, Wakil Ketua Anak Negeri dan Ketua-Ketua Kampung adalah mata dan telinga kerajaan untuk memberi maklumat kepada masyarakat dan menyampaikan maklumat-maklumat penting kepada kerajaan untuk diambil tindakan yang sewajarnya, ujar YB Datuk pada majlis mesyuarat bersama pemimpin-pemimpin di kawasan Tungku.

Salah satu fungsi utama pemimpin memastikan supaya masyarakat jangan menjadikan isu politik apabila sesuatu projek itu tergendala atau lambat disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan, tetapi sebagai pemimpin haruslah mengambil perhatian yang serius dengan menerangkan kepada masyarakat mengenai apa-apa program dan pembangunan atau masalah kelewatan di kawasan masing-masing.

Nasihat YB Datuk agar semua pemimpin di kawasan Tungku, agar lebih berhati-hati dalam membuat sesuatu keputusan bagi mengelakkan berlakunya tindak balas daripada pihak tertentu dengan membawa perkara berkaitan ke mahkamah. Jika perkara itu boleh diselesaikan di peringkat kampung, ketua kampung mempunyai kuasa dan jika tidak boleh menyelesaikannya, perkara tersebut hendaklah di serahkan kepada pihak berkuasa bagi mencari jalan penyelesaiannya.

Turut hadir pada mesyuarat tersebut ialah Pegawai Kemajuan Masyarakat Tungku En. Kamarudin Hj. Hamid, Pemaju Mukim Tungku Hj. Abd Kayum Hj. Omar, Penyelia Kemajuan Masyarat Tungku En. Abd Majid Alam dan Pemaju Masyarakat Tungku En. Salleh Kamin Sajiran.

Isnin, November 30, 2009

YB Datuk dan En Ahmad Faraid menyampaikan seekor Lembu untuk korban Aidil Adha di Kg. Sinakut, Tungku



Kg. Sinakut : YB Datuk Ustaz Mohd Suhaili dan Pengurus Lahad Datu Energy Sdn Bhd telah menyampaikan seekor lembu untuk korban Aidil Adha di Kg. Sinakut. Korban tersebut telah diadakan di perkarangan Surau Kg. Sinakut. Menurut Imam Rawatib Kg. Sinakut En. Abd Mutalib Alias, penduduk kampung Sinakut amat berterima kasih kepada YB Datuk Ustaz Mohd Suhaili dan En Ahmad Faraid kerana menjadikan kg. Sinakut tempat mengadakan korban sempena Aidil Adha 1430H.

Turut hadir pada majlis korban tersebut ialah Pegawai Kemajuan Masyarakat N49 Tungku Kamarudin Hj. Hamid, Ketua Anak Negeri Tungku En. Abdillah Hamzah, En. Hj Abd Malek Hj. Aidala, Wakil Ketua Anak Negeri kawasan Felda Datu Ibrahim Datu Karim, Ketua Kampung Tagupi Rahim Hj. Omar

Sabtu, November 21, 2009

Program Ceramah dan Dialog Perkeso Bersama Pemimpin-Pemimpin Masyarakat di Tungku


Salah seorang penerima faedah Perkeso yang disampaikan oleh Datu Baniamin.
Tungku - Majlis program ceramah dan dialog Perkeso bersama pemimpin-pemimpin masyarakat di kawasan Tungku telah dianjurkan oleh Perkeso Lahad Datu bertempat di Dewan Sri Nalaja Kg. Telisai. Program ini telah dihadiri oleh pemimpin-pemimpin seperti ketua-ketua kampung, pengerusi-pengerusi JKKK, wakil ketua anak negeri, pemaju-pemaju mukim dan Ketua Anak negeri. Matlamat program ini adalah untuk memberi pengetahuan dan kesedaran kepada pemimpin mengenai fungsi dan peranan Perkeso serta hak-hak mereka ( pekerja ) terhadap faedah yang disediakan oleh Perkeso. Sebagai pemimpin masyarakat di peringkat daerah adalah menjadi tanggungjawab dan peranan pemimpin bagi memberi khidmat nasihat kepada anak-anak buah di bawah jagaan setiap majikan dan ketua.

Majlis ini telah dirasmikan oleh wakil YB Datuk Ustaz Mohd Suhaili Hj. Said Adun N49 Tungku iaitu Pemimpin Kemajuan Rakyat Tungku Datu Baniamin Datu Jamaluddin. Katanya, majlis ini adalah untuk menghebahkan maklumat mengenai aktviti dan fungsi serta peranan Perkeso sebagai sebuah agensi kerajaan yang dipertanggungjawabkan untuk melaksana, mentadbir dan menguatkuasakan skim-skim insuran keselamatan Sosial iaitu Skim Bencana Pekerjaan dan Skim Pencen Ilat. Skim-skim keselamatan Sosial ini merupakan skim-skim yang diperuntukan dibawah akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 dan peraturan-peraturan (AM) Keselamatan Pekerja 1971. Selain daripada itu pemimpin-pemimpin juga berperanan untuk membantu keluarga-keluarga pencarum.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Penolong Pegawai Daerah Tungku En. Ibrahim Abd Hakim, ADDO Lahad Datu En Hisyam Hj Karim, Puan Ainah Awang, Penolong Pengarah kanan Perkeso Sabah, Pengurus Perkeso Lahad Datu En. Ahmad Zawawi Zulkiply.

Selasa, November 17, 2009

Ucapan Penghargaan Terima kasih kepada YB Datuk Ustaz Mohd Suhaili Hj. Said


Berikut adalah ucapan penghargaan Ketua Kampung Nala, En. Indanan Bin Mayong kepada YB Datuk Ustaz Mohd Suhaili Hj. Said kerana terbinanya jambatan yang menghubungkan Kg. Nala dengan Kg. Mundas/Dengan. Jambatan ini adalah adalah kegunaan penduduk kampung Nala untuk berurusan di Pejabat Daerah Kecil Tungku dan pelajar-pelajar yang bersekolah di SK Tungku. Inilah adalah satu projek pembangunan untuk manfaat kepada rakyat keseluruhannya di mana rakyat didahulukan pencapaian diutamakan ( 1 Malaysia )

Isnin, November 16, 2009

Konvensyen Modal Insan Peringkat Luar Bandar ( Program Bicara Ilmu " Rumah Tangga Bahagia, Keluarga Sejahtera " )

YB Datuk menyampaikan ucapan dan seterusnya merasmikan Konvensyen Modal Insan Peringkat Luar Bandar.
YB Datuk menerima cenderahati daripada Pengurus Besar Felcra Berhad Wilayah Sabah Ybhg Tuan Hj. Samian Mohd Ali
Seramai 300 orang hadir pada Konvensyen Modal Insan Peringkat Luar Bandar yang bertemakan " Program Bicara Ilmu " Rumah Tangga Bahagia, Keluarga Sejehtera " yang diadakan buat pertama kalinya di negeri Sabah, di mana program ini di anjurkan oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dengan kerjasama FELCRA Berhad Wilayah Sabah serta Masjid Al-Badrul Kg. Telisai, Tungku. Konvensyen ini telah di adakan di perkarangan Masjid Al-Badrul Kg. Telisai dengan ahli jawatan kuasa penganjurnya adalah di kalangan ahli lembaga Koperasi Telisai Berhad dan ahli jawatan kuasa Masjid Al-Badrul Kg. Telisai.

Konvensyen ini telah dirasmikan oleh YB Datuk Ustaz Mohd Suhaili Hj. Said ahli dewan undangan Negeri N49 Tungku merangkap presiden Hal-Ehwal Anak Negeri Sabah dan Ahli Lembaga Pengarah Felda. Katanya, konvensyen ini adalah satu pengiktirafan Felcra dan kerajaan kepada Kg. Telisai, khususnya Tungku kerana ianya diadakan buat pertama kali dalam sejarah penganjuran Konvensyen seumpama ini di negeri Sabah. Oleh yang demikian, pergunakanlah kesempatan yang ada ini untuk menambahkan ilmu dan pengetahuan bagi melahirkan Modal Insan yang berkualiti dan mampu membantu dalam membangunkan negara.

Turut hadir pada Konvensyen tersebut ialah Pengurus Besar FELCRA Berhad Wilayah Sabah Tuan Hj. Samian Bin Mohd Ali, Penolong Pegawai Daerah Tungku En. Ibrahim Abd Hakim, Pengurus Felcra kawasan Lahad Datu En. Ramlie Mat, Pemimpin Kemajuan Rakyat N49 Tungku Datu Baniamin Datu Jamaluddin, ketua-ketua anak negeri kawasan Tungku, En. Abdillah Hamzah dan Momen @ Ab. Momen Anghai.

Jumaat, Oktober 30, 2009

Lawatan Pengarah Tanah dan Ukur Sabah ke Tambisan

YB Datuk Ustaz Mohd Suhaili dan Datuk Osman Jamal sedang mengadakan perbincangan di tapak Loji Janakuasa Arang Batu di Kg. Sinakut.
Penduduk yang hadir pada majlis dialog tersebut
Tungku - Satu perubahan yang amat dinanti-nantikan oleh penduduk di kawasan Tambisan dengan kehadiran Pengarah Tanah dan Ukur Sabah Datuk Osman Bin Jamal telah mengadakan lawatan kerja ke Tambisan Darat, Tambisan Pulau dan Sg. Nipah, Tungku baru-baru ini. Lawatan Datuk Osman Jamal ke Tambisan adalah untuk berjumpa dengan penduduk di kawasan Tambisan dan di sekitarnya, bagi mengadakan majlis dialog dengan penduduk kampung mengenai masalah-masalah yang melibatkan tanah dan permohonan-permohonan yang telah dipohon oleh penduduk kampung di Tambisan. Hadir sama pada majlis tersebut ialah YB Datuk Ustaz Mohd Suhaili Hj. Said Adun N49 Tungku merangkap presiden Majlis Hal-Ehwal Anak Negeri Sabah dan Ahli Lembaga Pengarah Felda.

Menurut pengerusi penganjur majlis tersebut, En. Amir Hamzah Zakaria selaku Wakil Ketua Anak Negeri N49 Tungku yang juga penduduk Tambisan, kehadiran Pengarah Tanah dan Ukur Sabah dan YB Datuk Ustaz Mohd Suhaili ke Tambisan adalah satu kombinasi yang mampan dan berupaya menyelesaikan masalah-masalah penduduk di Tambisan seperti masalah tanah, permohonan projek pembangunan dan lain-lain berkaitan. Oleh itu En. Amir Hamzah menyeru kepada penduduk di kawasan Tambisan supaya bersatu, dalam erti kata yang lain mengukuhkan perpaduan bagi menyokong kepimpinan di peringkat kampung, Daerah, Yang berhormat, Bahagian Umno P188 Silam, Ahli Parlimen, Negeri dan seterusnya ke peringkat Pusat. Ini adalah satu usaha yang perlu disokong bagi menjayakan matlamat yang telah di warwarkan seperti 1 Malaysia dan wawasan 2020.

YB Datuk Ustaz Suhaili berharap agar, penduduk di kawasan Tambisan mengambil kesempatan sempena lawatan Datuk Osman Jamal Pengarah Tanah dan Ukur Sabah, bagi menyelesaikan masalah-masalah tanah dan permohonan geran yang tertunggak. Ini adalah kerana dengan kehadiran Pengarah sendiri maka penduduk boleh berdialog secara terus dengan Pengarah. Sebelum itu, YB Datuk Ustaz Suhaili dan Pengarah bersama rombongan telah mengadakan lawatan ke Tapak Loji Janakuasa Arang Batu di Kg. Sinakut. Turut hadir pada majlis tersebut iaitu Penolong Pegawai Daerah Tungku En. Ibrahim Abd Hakim, Pengarah Felda Sabah En. Juany Hj. Salleh, Ketua-ketua Anak Negeri kawasan Tungku, pegawai-pengawai dari Jabatan Tanah dan Ukur Sandakan, Kakitangan UPKR N49 Tungku dan ketua-ketua kampung di kawasan Tambisan.

Rabu, Oktober 28, 2009

Rakyat didahulukan pencapaian diutamakan

Seramai 60 orang yang terlibat dengan mangsa ribut yang melanda tungku pada jun 2009 telah menerima Zink yang telah disampaikan oleh YB Datuk Ustaz Mohd Suhaili Hj. Said ADUN N49 Tungku di perkarangan Pejabat Daerah Kecil Tungku. Zink tersebut disumbangkan oleh Jabatan Kebajikan Lahad Datu dan di hadiri sendiri oleh pegawainya Kebajikan Lahad Datu, cik. Sarina Hj Abd Ganih bersama kakitangan jabatan kebajikan. YB berharap dengan pemberian zink ini ianya dapat membantu mangsa yang terlibat dalam ribut yang melanda Tungku baru-baru ini. Apabila kita bercakap mengenai kepentingan rakyat..maka pada hari kerajaan telah mengutamakan rakyat dengan mendahulukan rakyat dan meningkatkan pencapaian, sebagaimana konsep 1 Malaysia...rakyat didahulukan pencapaian di utamakan..ujar suhaili pada majlis tersebut. Turut hadir pada majlis tersebut Penolong Pegawai Daerah Tungku En. Ibrahim Abd Hakim, Pegawai Kemajuan Masyarakat N49 Tungku En. Kamarudin Hj. Hamid,Penyelia Kemajuan Masyarakat N49 Tungku En. Abd Majid Alam, Pemaju Mukim Tambisan En. Nourdin Abd Rajin, Ketua Anak Negeri N49 Tungku En. Abdillah Hamzah, ketua-ketua kampung di kawasan Tungku.

Lawatan YB Datuk Ustaz Mohd Suhaili ke Kg. Mundas\Dengan


Tungku - YB Datuk Ustaz Mohd Suhaili Hj. Said telah mengadakan lawatan ke Kg. Mundas\Dengan bagi bertemu masyarakat dan melawat projek pembangunan yang dilaksanakan di kawasan berkenaan. YB Datuk turut melawat jambatan di Sg. Dengan yang telah siap dibina. Jambatan ini adalah menghubungkan di antara Kg. Mundas\Dengan dan Kg. Nala. Ianya adalah memberi manfaat dan memudahkan penduduk kampung Nala dan pelajar-pelajar yang bersekolah di SK Tungku. YB Datuk berharap dengan siapnya jambatan ini, ianya dapat memendekkan masa perjalanan penduduk yang berdekatan untuk ke Pekan Tungku. Turut hadir pada lawatan tersebut ialah Ketua Anak Negeri Tungku En. Abdillah Hamzah, Hj. Abd Malek Hj. Aidala, En. Mukmin Angsai, En .Allen Kiang, Pegawai Kemajuan Masyarakat N49 Tungku En. Kamarudin Hj. Hamid, Penyelia Kemajuan Masyarakat N49 Tungku En. Abd Majid Alam, Pemaju Mukim Tambisan En. Nourdin Abd Rajin dan Ketua Kampung Mundas\Dengan En. Ab. Wahab Zainuddin. Jambatan ini adalah peruntukan daripada Pejabat Pembangunan Negeri Sabah yang bernilai RM 140,000.00.